story image
mk-logo
Berita
Ku Li anggap kabinet lakukan 'pembohongan tak boleh dimaafkan'
Diterbitkan:  Jul 30, 2021 3:12 PM
Dikemaskini: 3:12 PM

Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menggesa agar sidang khas parlimen dilanjutkan untuk memberi peluang kepada semua ahli parlimen membahas dan mengungkainya di Dewan Rakyat.

Katanya, pelanjutan sidang parlimen itu juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan rasmi baginda sebelum ini yang bertegas mahu ordinan darurat perlu dibentang dan dibahas di parlimen.

"Tuanku agong telah memberi pandangan supaya kita (ahli parlimen) berbincang hal ini (proklamasi darurat dan ordinan darurat) sebaik mungkin dan menentukan sama ada (ia) boleh diluluskan atau tidak pembatalannya.

"Maka, elok perkara ini dilakukan semula dan sidang parlimen yang diadakan sekarang melanjutkan peluang kepada ahli-ahli menyuarakan pendapat rakyat tentang baik buruk ordinan yang ada dipakai sekarang," katanya dalam sidang media menerusi Facebook malam ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga berpendapat bahawa bukan kuasa kabinet untuk membatalkan pengisytiharan darurat malah apa yang dilakukan kerajaan itu dianggapnya sebagai "pembohongan yang tidak boleh dimaafkan."

Menurut Tengku Razaleigh sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menyatakan ordinan darurat sudah dibatalkan pada 21 Julai melalui persetujuan kabinet.

Serah kuasa kepada Agong

Katanya orang yang berhak membatalkan ordinan tersebut ialah Agong dan dibuat semasa parlimen tidak bersidang.

"Lagi satu, saya rasa bukan setakat itu sahaja, (pembatalan ordinan darurat) bukan sahaja pembohongan yang tak boleh dimaafkan, tetapi juga contempt (penghinaan) yang sudah pun dilakukan oleh pihak kerajaan.

"Saya rasa perbuatan ini sudah tentu menimbul kemurkaan raja kita," katanya.

Untuk rekod, semasa hari pertama sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu, Takiyuddin mengejutkan Dewan Rakyat mengumumkan bahawa kabinet sudah bersetuju membatalkan enam ordinan darurat.

Kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu itu kemudian mengundang polemik perlembagaan di antara kuasa kabinet dan Agong.

Semalam, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan rasa amat dukacita Agong terhadap cara ordinan darurat dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin, Agong juga amat kecewa apabila ordinan darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan seperti dipersetujui Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun di hadapan baginda pada 24 Julai lalu.

Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga amat dukacita apabila Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan dibuatnya semasa sidang khas berlangsung.

Namun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mempertahankan tindakan mereka membatalkan ordinan darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara.

Menurutnya, kerajaan sudah menasihatkan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum sidang khas parlimen pada 26 Julai lalu.

Kata PMO, mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil sebagai Ku Li berkata langkah kerajaan itu juga "tidak cerdik" dan seluruh anggota kabinet Muhyiddin Yassin perlu mengambil tanggungjawab ke atasnya.

"Saya rasa oleh kerana tidak ada ketentuan daripada pihak kerajaan, maka saya mengesyorkan [...] perdana menteri dan menteri-menteri letak jawatan, berundur daripada pemerintahan negara, serah balik kuasa ini kepada Agong.

"Biar Agong menentukan masa depan negara, dengan kita buang penghalang ini mungkin keadaan ekonomi bertambah baik dan mungkin strategi baru digunakan untuk kita mengakhiri wabak Covid-19 yang mengancam keselamatan rakyat," katanya.

ADS
Paling Popular
Terkini
ADS