Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga durian kampung jatuh kepada RM2 sekilo di Tanah Merah dan Jeli

Pekebun dan penjual durian kampung di sepanjang daerah Tanah Merah dan Jeli menzahirkan keresahan disebabkan harga durian jatuh menjunam pada tahun ini.

Ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) sejak Jun lalu di seluruh negara telah menghadkan pergerakan pembeli dari luar negeri mahupun luar daerah untuk datang membeli.

Bagi peraih, Rusli Azizi Samsudin, 36, dia akan membeli durian daripada penduduk kampung dengan harga RM1.50 sekilogram (kg) dan akan menjualnya kembali dengan harga RM2 sekilogram.

"Tahun ini merupakan tahun yang paling tenat kerana sebelum ni pun harga jatuh juga tetapi tidaklah kurang dari RM6 sekilogram tetapi tahun ini harga jatuh sehingga RM2.

"Masalah durian tidak terjual pula selalu terjadi terutamanya pada hari bekerja kerana tidak ramai orang yang boleh datang membeli.

"Pernah berlaku juga dua atau tiga hari lepas, kira-kira setengah tan metrik durian kita tidak terjual dan kita lelong dengan harga rugi sahaja untuk mengelakkan durian tersebut rosak," katanya semasa ditemui wartawan Malaysiakini di Pasir Dusun, Jeli, semalam.

Menurut Rusli, dia juga pernah menjual kepada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), tetapi harga yang ditawarkan kepadanya sangatlah rendah berbanding dengan harga yang dia tawarkan kepada pelanggan biasa.

"Kita terpaksa lah bersetuju untuk menjual dengan harga murah kepada pihak Fama disebabkan lambakan yang kita alami," katanya.

Sementara itu, Fakrul Mustaqim, 28, berkata, kebun duriannya di Sungai Renyuk, Jeli berupaya mengeluarkan durian sebanyak 50 kg setiap hari dan akan menjualnya di sekitar kampung sahaja kerana tidak dapat membawa keluar disebabkan PKP.

"Jika ramai peraih masuk, maka harga akan naik tapi disebabkan keadaan Covid-19 sekarang ini, mereka tersekat dan tidak dapat masuk ke sini untuk mengambil hasil kebun kami.

"Baru-baru ini harga durian jatuh sehingga 70sen sekilogram tapi sekarang naik sedikit menjadi RM2 tapi masih lagi rendah dari tahun-tahun sebelumnya," terang Fakrul.

Apabila ditanya berkenaan lambakan durian yang dihadapi oleh rata-rata pekebun, dia menjawab, dia juga mengalami perkara yang sama.

Katanya, lebihan durian terpaksa memproses untuk dijadikan lempuk ataupun diberi kepada orang ramai secara percuma untuk mengelak daripada rosak serta terbuang begitu sahaja.

Lihat Komen
ADS