Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pokok epiphyllum oxyepetalum pemberian seorang sahabat, Harun, akhirnya menjadi subur selepas dialihkan ke tempat baru. Agak lama di tempat asal dan ia kelihatan tidak sesegar yang diharapkan.

Ia kemudian dipindahkan kawasan yang teduh.

Pun begitu pokok itu - yang lebih kita kenali sebagai bakawali - mengambil masa kira-kira setahun sebelum ia 'setuju' mengeluarkan bunga. Tiga kuntum semuanya.

Sebelum ini ada beraneka cerita mengenai bakawali dihidangkan kepada saya. Seorang rakan persekolahan misalnya berkongsi pengalaman alam kanak-kanaknya.

Kata rakan saya itu, dia sanggup bersengkang mata dan bermalam di rumah jirannya demi untuk mengintai 'puteri jelita' yang dikatakan akan keluar dari kuntum bakawali yang mekar pada lewat malam.

Adapun seorang kawan yang lain menitipkan pesan supaya saya bersiap sedia dengan paku 7 inci tatkala menyaksikan bakawali mekar. Menurut kawan saya itu, apabila bunga bakawali berkembang mekar, ia akan menarik perhatian pontianak dan langsuir.

Justeru paku 7 inci itu, katana, hendaklah dipantak ke tenguk hantu itu supaya nanti mereka bertukar menjadi manusia. Bukan sembarang manusia. Ia akan menjadi wanita jelita!

Memerhati yang mengasyikkan

Tiga malam berturut-turut saya menanti bakawali saya untuk mekar. Memang ia memerlukan kesabaran. Mujurlah pengalaman sebagai jurupandu pelancong alam semula jadi selama bertahun-tahun banyak membantu.

Apabila naluri kesabaran dan diperlukan, pengalaman di dalam hutan itulah yang muncul dan banyak membantu secara spontan.

Semasa di belantara, memang ada ketikanya saya perlu berseorangan untuk melakukan tugasan memerhati hidupan liar dan flora. Kerjaya saya tidaklah terbatas untuk memandu pelancong saja.

Ada ketikanya saya juga membantu ahli-ahli sains membuat kajian dan mengumpul maklumat tentang flora dan fauna.

Memerhati bakawali memekar memang mengasyikkan. Sementelah saya sudah lebih setahun tiada sebarang tugasan untuk melakukan perjalanan ke dalam hutan. Terima kasih kepada Covid-19 atas 'hadiah' yang menyukarkan ini.

Menyaksikan bunga bakawali berkembang juga detik yang sangat saya raikan kerana ia sedikit sebanyak dapat mengubat rindu kepada alam semula jadi.

Dan bersendirian dalam gelap malam mudah membawa kita hanyut mendekat Maha Pencipta. Kembang berwarna putih itu pula melontarkan aura yang sukar digambarkan.

Harumannya yang semerbak membawa khayalan saya jauh ke taman indah, hening, dan damai.

Pun begitu bakawali ini tidak ada kena-mengena dengan para wali walaupun alam sufisme itu sendiri sungguh sinonim dengan bunga-bungaan.

Sebagai seorang yang merapat dengan alam, suka saya kongsikan satu pesanan: sekiranya anda mengalami keresahan atau tekanan jiwa, cubalah perhatikan alam.

Belajarlah daripada sekelian haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang ada. Ia memerlukan hati yang cerah dan akal yang sihat. Juga jiwa yang bersih daripada keserakahan kepada harta, pangkat, jawatan dan yang seumpama dengannya.

Jika pemerhatian itu dibuat dengan nafsu, kita bimbang pengajaran yang dicerap akal tercemar itu akan menyimpang. 

Mungkin teladan yang akan dipelajar bukanlah daripada ketabahan bakawali, tetapi kegelojohan dubuk, kedegilan lalat dan langau, dan sikap bermuka-muka sesumpah.

Alam raya ini juga sebahagian daripada ayat-ayat Tuhan yang perlu kita tadaruskan. Pada flora dan fauna itu banyak zikir penawar yang boleh kita kongsi bersama untuk kesejahteraan.

Itulah pentingnya kita menghargai dan menjaga warisan alam anugerah Allah ini.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi yang minat melukis, memerhati dan menulis.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS