Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin sedia berdepan undi percaya di parlimen September ini
Diterbitkan:  Aug 4, 2021 12:42 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan berdepan usul percaya di parlimen pada sidang September ini.

Dia berkata demikian dalam perutusan khas sebentar tadi.

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh turut menegaskan dia masih mempunyai sokongan majoriti dan sekali gus, isu peletakan jawatan bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit.

Katanya, dia telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan menerima surat akuan daripada ahli Dewan Rakyat dan masih mempunyai kepercayaan majoriti ketika ini.

“Saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai perdana menteri seringkali dipersoalkan.

“Maka, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai perdana menteri di Parlimen,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebelum mempengerusikan mesyuarat kabinet, tengah hari ini.

Sejurus mengadap Agong, Muhyiddin menyampaikan perutusan khasnya di Putrajaya.

Kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri menjadi tanda tanya apabila Umno semalam membuat ketetapan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan perdana menteri.

Sepuluh orang anggota parlimen Umno hadir ketika pengumuman Presiden Umno Zahid Hamidi.

Jumlah keseluruhannya dikatanya 14 orang, walaupun ada sumber lain mendakwa seramai 20.

Keabsahan pentadbiran Muhyiddin juga terus berbangkit apabila Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan menteri tenaga dan sumber asli serta-merta semalam.

Lihat Komen
ADS