mk-logo
Berita
Pembangkang tuntut usul percaya pada PM tak lewat dari 9 Ogos
Diterbitkan:  Aug 4, 2021 4:19 PM
Dikemaskini: 12:38 PM

Semua parti pembangkang dan ahli parlimen bebas yang tidak menyokong Muhyiddin Yassin petang ini sepakat mendesak sidang khas parlimen diadakan selewat-lewatnya Isnin depan.

Dalam kenyataan bersama, merek berkata gesaan itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3) bagi membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap perdana menteri.

"Kami tidak boleh menerima isu sokongan terhadap perdana menteri ini ditangguhkan sehingga Sept.

"Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah kerajaan yang dipertikaikan keabsahan dan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen untuk melengah-lengahkan proses penentuan sokongan berkenaan," kata kenyataan tersebut.

Ia ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, Presiden Parti Pejuang Tanah Air Mukhriz Mahathir, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu - Upko Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Parti Sarawak Bersatu Baru Bian, Presiden Parti Ikatan Demokrasti Malaysia - Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik (bebas).

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini terus ditekan berhubung keabsahan jawatannya sebagai perdana menteri selepas sekurang-kurangnya 11 ahli parlimen Umno membatalkan sokongan mereka semalam.

Sebelum itu Muhyiddin dianggap memiliki sokongan majoriti namun tipis. Ia juga tidak pernah diuji atau dibuktikan di parlimen.

Tengah hari tadi Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata, tidak timbul isu dia perlu meletakkan jawatan kerana masih mempunyai majoriti di parlimen.

Dia juga berjanji untuk membawa usul undi percaya pada sidang parlimen dijadual bulan depan. Pun begitu pembangkang meragui ketetapan berkenaan, antara lain berdasarkan penangguhan yang dibuat pada 2 Ogos lalu atas alasan ancaman Covid-19.

Terdahulu pemimpin parti pembangkang berkata, "mustahil" untuk Muhyiddin masih memiliki sokongan yang diperlukan ketika ini. 

Menurut pemimpim pembangkang mengambil kira status pandemik Covid-19 yang terus mencengkam rakyat dan kematian yang terus bertambah, usul undi percaya itu tidak boleh dilengahkan.

"Usul tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan sekarang sekali gus menamatkan isu keabsahan perdana menteri," katanya.

Lihat Komen
ADS