Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Migran tanpa dokumen juga boleh dapat vaksin percuma bawah Selvax

Warga asing tanpa dokumen atau individu tanpa kewarganegaraan yang tinggal di Lembah Klang boleh mendapat vaksinasi Covid-19 percuma melalui Program Vaksinasi Selangor (Selvax) yang dijalankan kerajaan negeri Selangor.

Menurut Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, mereka hanya perlu mendaftar melalui aplikasi Selangkah dan hadir untuk vaksinasi di Kompleks PKNS dari 10 hingga 13 Ogos.

Dia berkata demikian ketika diminta menjelaskan mengenai pengumuman negeri itu bahawa hanya mereka yang bukan warganegara yang tinggal di Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa bahagian Negeri Sembilan dianggap berada di bawah Lembah Klang, dan mereka yang memiliki pasport, dapat menerima vaksinasi Selvax.

Siti Mariah berkata mereka yang tidak mempunyai dokumen atau pasport boleh menggunakan nombor telefon mereka sebagai pengenalan diri di Selangkah.

“Asalkan nama dan nombor telefon yang digunakan untuk dos pertama dan kedua adalah konsisten," katanya ketika dihubungi.

Mereka harus memilih pusat vaksinasi Kompleks Sukan PKNS dan memasukkan kod SELVAXBWNPKNS ketika mendaftar di Selangkah.

Tawaran ini juga diberikan kepada golongan pelarian, yang dianggap sebagai pendatang tanpa izin di Malaysia.

Menurut UNHCR, sekitar 70,101 pelarian yang tinggal di Selangor.

Sementara itu, kerajaan tidak mengeluarkan data mengenai anggaran pekerja warga asing tanpa dokumen di setiap negeri.

Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan berkata terdapat kira-kira 448,500 pekerja migran di Selangor.

Selain warga asing tanpa dokumen, terdapat banyak lagi pekerja asing yang berada di negara ini secara sah, yang kemungkinan tidak memiliki akses terhadap pasport mereka, di mana antaranya dipegang oleh ejen atau majikan mereka.

Proses yang lembab

Program vaksinasi Selvax adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Selangor untuk meningkatkan jumlah vaksinasi di negeri itu.

Dari 3 hingga 13 Ogos, penduduk Selangor yang berumur 18 tahun ke atas akan dapat vaksinasi percuma melalui Selvax di mana-mana enam pusat vaksinasi di negeri tersebut.

Tawaran ini terbuka untuk mereka yang belum menerima janji temu dos yang pertama melalui aplikasi MySejahtera yang dikendalikan oleh kerajaan persekutuan.

Mereka perlu mendaftar melalui aplikasi Selangkah dan memasukkan kod untuk pusat vaksinasi yang mereka mahukan.

Pusat vaksinasi yang terbuka untuk warganegara adalah:
Tropicana Gardens Mall, Kota Damansara (Kod: SELVAXTGM);
Evo Mall, Bandar Baru Bangi (Kod: SELVAXEVO);
Hotel De Palma, Shah Alam (Kod: SELVAXDEPALMA);
Kompleks Sukan PKNS (Kod: SELVAXPKNS); dan
Aurora Place, Bukit Jalil (Kod: SELVAXAURORA)

Pusat Kompleks Sukan PKNS hanya akan dibuka untuk warganegara sehingga 9 Ogos untuk memberi laluan kepada bukan warganegara dari 10 hingga 13 Ogos. Bukan warganegara harus menggunakan kod SELVAXBWNPKNS.

Walaupun program tersebut untuk mempercepatkan proses vaksinasi negeri, sukarelawan di pusat vaksinasi tersebut berkata ia merupakan proses yang lembab.

Semalam, seorang sukarelawan di Tropicana Gardens Mall memberitahu di media sosial bahawa mereka telah bersedia untuk memberikan sehingga 2,000 dos vaksin Sinovac yang dibeli oleh kerajaan negeri sebelum ini, tetapi hanya 200 penerima yang hadir pada tengah hari.

Vaksinasi ‘walk-in’ di Lembah Klang dibuka secara berperingkat

Inisiatif Selangor selari dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) oleh kerajaan pusat.

Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha negara dalam meningkatkan kadar vaksinasi di Lembah Klang, iaitu di mana jangkitan Covid-19 mencatatkan jumlah tertinggi di Malaysia.

Menurut data Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 3 Ogos, 97.8 peratus daripada populasi dewasa yang berdaftar di Lembah Klang telah menerima dos pertama mereka sementara 41.3 peratus telah menerima kedua-duanya.

Untuk memastikan mereka yang masih belum divasksin menerimanya, termasuk yang tidak berdaftar, 10 pusat vaksinasi Pick turut membenarkan vaksinasi ‘walk-in’ dari 2 hingga 22 Ogos, bermula jam 2 petang.

Satu-satunya syarat yang ditetapkan adalah penerima perlu membuktikan yang mereka menetap di Lembah Klang, termasuk melalui bil utiliti, pas kerja, perjanjian penyewaan dan sebagainya.

Senarai pusat vaksinasi ‘walk-in’ tersebut adalah:
* Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (HCO F);
* Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (HCO G);
* Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (HCO H);
* Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC);
* Hotel Wyndham, Klang;
* Dewan Tun Razak, Sabak Bernam;
* Dewan Komuniti Serendah;
* Movenpick Hotel dan Pusat Konvensyen KLIA, Sepang;
* Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam (IDCC); dan
* Stadium Nasional Bukit Jalil (‘walk-in’ untuk bukan warganegara sahaja, dari 9 hingga 22 Ogos)

Bagaimanapun, vaksinasi ‘walk-in’ di bawah Pick dibenarkan secara berperingkat, mengikut umur dan kewarganegaraan.

Warganegara di Lembah Klang yang berumur 40 tahun ke atas boleh hadir untuk vaksinasi bermula 2 Ogos, sementara bukan warganegara yang berumur 40 tahun ke atas hanya boleh berbuat demikian bermula 9 Ogos.

Mereka yang merupakan warganegara di Lembah Klang, berumur 18 tahun ke atas boleh hadir ‘walk-in’ untuk mendapatkan vaksinasi mereka bermula 5 Ogos, sementara bukan warganegara berumur 18 tahun ke atas boleh berbuat demikian mulai 12 Ogos.

Terdahulu, menteri penyelaras bagi Pick, Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Dalam Negeri akan membuat pengumuman mengenai jalan selamat bagi pendatang tanpa dokumen untuk menerima vaksin Covid-19 mereka.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan dalam kalangan mereka apabila Jabatan Imigresen dikatakan akan mengesan warga asing tanpa izin yang ‘walk-in’ ke pusat vaksinasi.

Namun pada minggu lalu, Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud memberi jaminan jabatan itu tidak akan mengganggu Pick atau menghantar pegawainya untuk menahan warga asing tanpa dokumen di pusat vaksinasi.

Lihat Komen
ADS