Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyeludup lari tinggalkan haiwan eksotik bernilai RM67,600 elak dicekup
Diterbitkan:  Aug 7, 2021 5:40 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Sekumpulan penyeludup lari bertempiaran meninggalkan pelbagai jenis haiwan peliharaan eksotik bernilai RM67,600 setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa di pangkalan haram Bilah Dollah, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Haiwan peliharaan eksotik tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran, Thailand.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) Kelantan, Supt Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian sekitar jam 7 petang, pihaknya menyedari sekumpulan lelaki sedang memunggah beberapa buah kotak berwarna coklat dalam keadaan mencurigakan di pengkalan haram terbabit.

"Sekumpulan penyeludup terbabit bertindak melarikan diri ke arah Thailand dengan menggunakan perahu setelah menyedari kehadiran pihak kami dan meninggalkan kotak-kotak terbabit di tepi tebing sungai.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kami telah menemukan kotak-kotak pelbagai saiz dan warna yang mengandungi pelbagai jenis haiwan peliharaan eksotik,"katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Nor Azizan, pihaknya menjumpai sebanyak 206 ekor katak bernilai RM20,600, 50 ekor labi-labi bernilai RM15,000, 24 ekor anak ular bernilai RM12,000, 3 ekor burung kakak tua bernilai RM15,000 serta seekor iguana bernilai RM5,000.

" Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM67, 600.

"Pihak kami telah membuat laporan polis di Balai Polis Rantau Panjang dan hasil rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambahnya, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Memburu Atau Menyimpan Hidupan Liar Tanpa Kebenaran.

"Hukuman yang boleh dikenakan di atas kesalahan tersebut ialah denda sebanyak RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan," jelas Azizan.

Lihat Komen
ADS