Mukhriz kata kontrak diberikan kepada adik beradiknya mengikut merit
Datuk Mukhriz Mahathir mendakwa kontrak atau perniagaan yang dimiliki oleh adik beradiknya adalah hasil titik peluh mereka sendiri, bukan diperolehi dengan jalan mudah.
Sambil mengakui beliau dan abang-abangnya, Mirzan dan Datuk Mokhzani turut memperolehi beberapa kontrak dari kerajaan, Mukhriz menegaskan kontrak-kontrak berkenaan diberi berdasarkan merit, bukan kerana kronisme atau nepotisme.
Buktinya kata beliau, selepas 22 tahun bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, adik beradiknya bukanlah "multi-billionaires".
Mukhriz berkata demikian bagi menjawab dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang mendakwa anak-anak Dr Mahathir mendapat kontrak yang jauh lebih besar daripada syarikat anaknya, Scomi Berhad.
"Kami boleh menjadi multi-billionaire jika kami mengikut jejak mereka di Indonesia. Saya bangunkan perniagaan saya sendiri, kami terpaksa berkerja keras.
"Saya berusaha untuk memenangi kontrak fiber optik itu. Kilang fiber optik saya adalah yang terbesar di negara ini, kami mempunyai rekod yang baik dalam mengeluarkan dan membekalkan kabel kepada Telekom Malaysia," jelasnya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Kontrak membekal fiber optik yang diberikan kepada syarikat Mukhriz, Opcom Sdn Bhd oleh Telekom Malaysia menjadi kontroversi baru-baru ini apabila beberapa lamanweb pro-Abdullah mempertikaikan pemberiannya secara rundingan terus.
Petronas ambilalih MISC
Kontrak bernilai RM230 juta itu untuk tempoh tiga tahun diberikan kepada Opcom pada hujung tahun 2003, ketika Dr Mahathir masih memerintah negara.
Selain itu dua abangnya, Mirza dan Mokhzani turut memperolehi kontrak dari kerajaan ketika bapa mereka menjadi Perdana Menteri.
Pada hujung tahuhn 1990-an, syarikat perkapalan milik Mirzan, MISC diambilalih oleh Petronas dalam urusniaga bernilai lebih RM1 bilion.
Mokhzani pula menerusi syarikatnya, Tongkah Holdings mendapat kontrak bernilai ratusan juta ringgit dalam penswataan perkhidmatan sokongan hospital.
Menurut Mukhriz lagi, beliau percaya apa yang dimaksudkan oleh bapanya ketika mengkritik pemberian kontrak kepada Scomi ialah cara kontrak tersebut diberikan.
"Ada perbezaan dalam pemberian kontrak Scomi dengan kontrak-kotrak yang saya perolehi. Ayah saya tidak akan bercakap jika dia tidak mempunyai bukti yang cukup," ujarnya.
Menyentuh tentang dakwaan Perdana Menteri bahawa Dr Mahathir membuat kritikan berbisa, Mukhriz menafikannya kerana apa yang disebut oleh bapanya bukan perkara baru, ia adalah perkara atau isu-isu yang pernah dibangkitkannya sebelum ini.
"Ayah saya telah mengulanginya sejak 8 bulan lalu tetapi PM tidak menjawabnya dengan terperinci. Nampaknya ia telah bertukar menjadi sesuatu yang peribadi sedangkan bapa saya hanya membangkitkan isu-isu berkaitan kepentingan nasional. Soalan beliau tidak dijawab, sebaliknya dia diserang secara peribadi. Isu-isu ini tidak ditangani dengan baik," jelasnya.