Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendaftaran vaksin wanita hamil masih rendah, kes kematian meningkat
Diterbitkan:  Aug 11, 2021 10:11 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat peningkatan mendadak dalam kes kematian dan jangkitan teruk melibatkan wanita hamil yang positif Covid-19.

Peningkatan itu di tengah-tengah kadar pendaftaran vaksinasi yang rendah di kalangan golongan itu.

"Memandangkan ibu hamil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

"KKM menyeru semua ibu hamil untuk mendapatkan vaksin bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19.

"Para suami mestilah memberi sokongan kepada pasangan bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin Covid-19," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, wanita hamil boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepat vaksinasi mereka.

Kenyataan itu susulan kematian penyanyi Siti Sarah Raisuddin akibat Covid-19 pada 9 Ogos lalu.

Ketika itu, dia sedang mengangdung tujuh bulan dan melahirkan anaknya menerusi pembedahan pada 6 Ogos, hari yang sama dia diberi alat bantuan pernafasan.

Menurut Noor Hisham, terdapat 70 kematian akibat Covid-19 melibatkan wanita hamil setakat 9 Ogos lalu.

Tiada kematian Covid-19 melibatkan kumpulan itu sepanjang 2020, tetapi terdapat purata dua kematian direkodkan daripada Januari hingga Mei tahun ini.

"Bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian mendadak dilaporkan sejak bulan Jun 2021 iaitu sebanyak 17 kes kematian. Data menunjukkan dua kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin, manakala sebanyak 15 kes yang lain tidak menerima vaksin.

"Berdasarkan maklumat sediada, sebanyak 47 peratus dari kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbid," katanya lagi, sambil menambah vaksin hanya diberi kepada wanita hamil bermula akhir 2021.

Noor Hisham juga berkata, wanita hamil lebih berkemungkinan untuk dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berbanding pesakit lain.

Dia berkata sehingga Jun 2021, terdapat 3,396 kes positif di kalangan wanita hamil di Malaysia - hampir satu peratus daripada seluruh wanita hamil di Malaysia.

"Jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober 2020, dengan purata 200 kes jangkitan sebulan di mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei 2021 (850 kes) dan Jun 2021 (899 kes)."

Berkaitan kemasukan ICU, dia berkata wanita hamil merangkumi 5.3 peratus kes ICU pada 7 Ogos, berbanding tiga peratus sebulan pada 10 Julai.

"Analisis terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti Covid-19 yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit Covid-19 kritikal ialah satu dalam 20.

"Nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu satu dalam 220," katanya lagi.

Pada masa sama, hanya 146,759 wanita hamil telah mendaftar untuk vaksinasi setakat 8 Ogos - dianggarkan hanya 40 peratus daripada seluruh wanita hamil di Malaysia.

Daripada yang telah berdaftar, seramai 83,251 orang (57 peratus) telah menerima satu dos, manakala 20 peratus telah menerima dua dos.

Untuk rekod, garis panduan KKM menyatakan wanita hamil perlu menerima dos pertama antara minggu 14 hingga 33 kehamilan mereka.

Bagaimanapun, katanya lagi, vaksinasi selepas minggu ke-33 kehamilan tidaklah bertentangan sepenuhnya dan boleh dibuat berdasarkan kes dengan penilaian manfaat dan risiko terhadap individu.

Selain vaksinasi, Noor Hisham turut mengesyorkan langkah lain bagi wanita hamil dan keluarga mereka.

Selain nasihat biasa seperti mematuhi prosedur operasi standard (SOP), dia juga berkata wanita hamil perlu ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk penilaian jika mereka disahkan positif, walaupun mereka tidak mengalami gejala.

Katanya, ia agar doktor boleh memberi nasihat jika mereka perlu dipantau di kemudahan kesihatan.

Jika keadaan semakin buruk, mereka perlu terus ke klinik atau CAC, atau menghubungi talian 999 atau terus ke hospital jika berlaku kecemasan, katanya lagi.

Lihat Komen
ADS