Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Istana utus surat mahu tahu jumlah sokongan pada Muhyiddin
Diterbitkan:  Aug 12, 2021 3:40 PM
Dikemaskini: 2:25 PM
  • Kemaskini 8.40pm | Komen daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.

Istana Negara didakwa menghantar surat untuk meminta pengesahan speaker Dewan Rakyat berhubung jumlah sokongan anggota Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan surat yang tular, surat ditandatangani Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara mengutuskan diutuskan kepada Speaker, Azhar Harun pada 9 Ogos.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan kesahihan warkah berkenaan kepada Malaysiakini.

Warkah itu menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong ingin mendapatkan kepastian jumlah sokongan terhadap perdana menteri.

Istana berkata, Azhar melalui surat pada 3 Ogos memberitahu kedudukan semasa sokongan kepada Muhyiddin adalah 106 orang.

Bagaimanapun, menurut istana, pada 4 dan 6 Ogos, dua anggota jemaah menteri meletakkan jawatan, menjadikan jumlah sokongan berkurangan dua orang.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon berkata, dia tidak pasti sama ada Azhar ada menerima surat daripada istana atau tidak, kerana surat seumpama itu bertentangan dengan duluan yang sudah lama diamalkan.

"Sebab itu saya perlu tanya tentang laporan yang membuat dakwaan sedemikian kerana bagaimana Yang di-Pertuan Agong boleh menanyakan soalannya kepada Yang di-Pertua (Dewan Rakyat).

Agong ketika menerima menghadap perdana menteri

"Menurut prosedur, ketika Parlimen bersidang, apa sahaja yang berlaku di dalam dewan, ketua Dewan Rakyat (perdana menteri) akan melaporkan sendiri kepada Agong, termasuk sokongan majoritinya.

"Ia tidak datang daripada speaker. Tak boleh. Ini prosedurnya," katanya seperti dipetik The Vibes.

Pada 9 Ogos lalu, Umno mendedahkan surat yang ditandatangani 13 ahli parlimen parti itu yang menyatakan tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Pemuda Umno lapor polis

Selain itu turut tersebar surat dikatakan jawapan balas Azhar. Bagaimanapun perkara ini belum dapat disahkan.

Malaysiakini sudah menghubungi Azhar dan masih menunggu penjelasannya.

Dalam pada itu, portal Malaysiapost melaporkan Azhar enggan memberi sebarang ulasan berkenaan perkara ini.

“Maaf, saya tak boleh komen mengenai komunikasi rasmi saya, lebih-lebih lagi kalau dengan pihak istana,” katanya seperti dipetik.

Susulan perkembangan ini, Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis dengan menggesa pihak berkuasa membuat siasatan dan menentukan surat itu tulen atau tidak.

Ketuanya Asyrat Wajdi Dusuki dalam sidang media berkata, Azhar perlu membuat penafian jika surat yang disebarkan di media sosial itu adalah palsu.

Asyraf juga membangkitkan laporan MalaysiaPost yang mendakwa Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menjawab surat istana, memaklumkan sokongan Muhyiddin berkurang kepada 100 ahli parlimen.

"“Pemuda Umno meminta agar Yang Dipertua Dewan Rakyat segera menafikan surat yang ditularkan, walaupun dalam MalaysiaPost menyebut beliau tidak mahu komen mengenainya kerana melibatkan Istana Negara," katanya.

Malaysiakini telah menghantar permintaan kepada Istana Negara untuk mengulas perkara ini.


Laporan tambahan oleh Geraldine Tong

Lihat Komen
ADS