Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU paling lewat Julai 2022, ‘takkan biar kleptokrat perintah’
Diterbitkan:  Aug 13, 2021 7:07 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Perdana Menteri hari ini menegaskan dia tidak bercadang untuk "berpaut di dahan kuasa" dan mengemukakan aku janji bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya Julai 2022.

Ikrar itu diutarakan Muhyiddin Yassin setelah keabsahan jawatannya sebagai perdana menteri serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin dipertikaikan.

“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baru apabila tiba masa yang lebih sesuai.

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat aku janji bahawa pilihan raya umum ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya penghujung Julai tahun hadapan,” katanya dalam ucapan khas yang disiarkan tadi.

Muhyiddin dalam ucapan sama, turut membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan, dalam usaha mendapatkan sokongan pelbagai parti bagi memastikan usul undi percaya ke atasnya dapat diluluskan.

“Tujuan saya kemukakan cadangan ini ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan dwipartisan di parlimen.

“Pada masa yang sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera,” katanya lagi.

Keabsahan kerajaan PN berulang kali dipertikaikan sejak ia dibentuk tahun lalu daripada adegan lompat parti daripada ahli-ahli parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Muhyiddin dan PN bukan saja berdepan kritikan daripada pembangkang, tetapi juga sekutu di dalam PN sendiri iaitu Umno yang turut lantang mengkritik sama ada keabsahan PN, mahupun dasar yang dilaksanakan.

Meskipun tidak menyebut secara langsung, Muhyiddin dipercayai merujuk beberapa tokoh Umno yang sedang berdepan kes mahkamah, dan ada yang telah dijatuhkan hukuman bersalah.

Untuk rekod, Umno telah menarik sokongan kepada Muhyiddin mahupun PN. Kali terakhir PRU diadakan ialah pada Mei 2018 dan parlimen akan terbubar secara automatik - jika tidak dibubarkan lebih awal - lima tahun sesudah itu.

Lihat Komen
ADS