MT bincang kedudukan Dr M dalam agensi dan syarikat k'jaan
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Khamis ini dijangka membincangkan kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat beberapa agensi dan syarikat milik kerajaan, ekoran kritikan berterusan bekas Perdana Menteri itu terhadap pentadbiran sekarang.
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Khamis ini dijangka membincangkan kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat beberapa agensi dan syarikat milik kerajaan, ekoran kritikan berterusan bekas Perdana Menteri itu terhadap pentadbiran sekarang.
Langkah tersebut dipercayai ekoran desakan beberapa pemimpin Umno, termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid, supaya Dr Mahathir meletakkan jawatan dan agensi dan syarikat berkenaan sekiranya mahu terus mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Dr Mahathir merupakan penasihat kepada beberapa agensi dan syarikat milik kerajaan seperti Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Akhbar Utusan Malaysia (UM) memetik Setiausaha Kerja Umno, Brig-Jen(B) Datuk Husainay Hashim sebagai berkata, sebarang perkara yang membabitkan parti sudah tentu akan dibincangkan dalam mesyuarat MT Umno.
Akhbar itu melaporkan bahawa langkah membawa isu itu ke mesyuarat MT diambil sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada perbalahan dan kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap Abdullah.
Husainay bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu yang diadakan dua minggu sebelum Perhimpunan Agung Umno dari 13 hingga 17 November ini.
"Sudah semestinya sebarang perkara yang membabitkan parti termasuk perbalahan antara Pak Lah dan Tun Mahathir akan disentuh dalam mesyuarat MT Umno pada 2 November ini," kata Husainay kepada UM semalam.
Hak mutlak PM
Sebelum ini, Mahdzir dilaporkan berkata: "Jika Tun hendak lanyak kerajaan juga, eloklah lepaskan semua jawatan itu dan jadilah individu bebas yang tidak ada kena-mengena dengan kerajaan, barulah betul. Jika tidak, apa gunanya jadi penasihat."
Manakala ahli MT Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju jika isu itu dibincangkan dalam mesyuarat MT.
Katanya, sudah tiba masanya Umno dan kerajaan bertindak tegas terhadap Dr Mahathir termasuk mengkaji semula kedudukannya sebagai penasihat beberapa agensi kerajaan,
Mohamed Khaled menegaskan, tindakan itu penting supaya Dr. Mahathir tahu bahawa perbuatan beliau terus mengkritik Abdullah tidak diterima sama sekali oleh parti dan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, keputusan sama ada untuk menamatkan perkhidmatan Dr Mahathir sebagai penasihat agensi-agensi kerajaan terletak pada tangan Perdana Menteri.
"Biarlah MT Umno berbincang dulu dan hasil perbincangan nanti terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya," kata beliau.
Dalam reaksi yang dianggap paling keras setakat ini, Pemuda Umno Terengganu dilaporkan meminta Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno jika bekas Perdana Menteri itu terus menerus tidak bersetuju dan lantang mengkritik kepimpinan Abdullah.
Dr Mahathir dan Abdullah mengadakan pertemuan empat mata dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri tetapi sejurus selepas pertemuanitu, Dr Mahathir mengadakan dua sidang akhbar mengkritik Abdullah selain mengeluarkan sepucuk surat terbuka yang mendakwa Malaysia kini menjadi sebuah negara yang penuh ketakutan.
Pohon maaf
Sementara itu, UM juga melaporkan Umno Terengganu mendesak Dr Mahathir supaya memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri berhubung kritikan kerasnya terhadap kepimpinan Abdullah.
Bagaimanapun, Setiausahanya, Datuk Rosol Wahid berkata, sebarang tindakan keras termasuk memecat Dr Mahathir daripada Umno perlu dielakkan bagi mengelak masalah yang lebih besar dari segi perpaduan ahli.
"Tun wajar diberi peluang untuk memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau," katanya dalam laporan UM.
Manakala Pemuda Umno Kedah pula mencadangkan supaya keahlian Dr Mahathir dalam Umno digantung.
Ketuanya, Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, ini berikutan kenyataan Dr Mahathir telah menimbul banyak kontroversi.

