mk-logo
Berita
Ismail Sabri dicalonkan lepas Zahid tarik diri - Ahmad
Diterbitkan:  Aug 18, 2021 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Sebelum nama Ismail Sabri Yaakob dipersetujui menjadi calon perdana menteri, nama naib presiden Umno itu asalnya berada di kedudukan ketiga, kata Ahmad Maslan.

Menurut setiausaha agung Umno itu lagi, nama teratas untuk dipertimbangkan oleh parti itu malam tadi ialah presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi, diikuti timbalanna Mohamad Hasan.

Bagaimanapun katanya perubahan berlaku selepas itu dalam mesyuarat Biro Politik Umno dan majlis kerja tertinggi (MKT) parti berkenaan apabila Ahmad Zahid menarik diri.

"Dia tidak mahu dicalonkan.

"Nama kedua yang naik ialah (Mohamad) tetapi dia tidak memenuhi kriteria sebab statusnya hanya Adun. justeru kami memilih Ismail Sabri," katanya seperti dipetik portal berita The Vibes.

Untuk rekod Ismail Sabri dilaporkan mula menggerakkan usaha mengumpul sokongan untuk dicalonkan parti mengisi kekosongan yang ditinggalkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.

Pada asalnya ahli parlimen Bera itu dilihat tidak sehaluan dengan Ahmad Zahid kerana komitmen yang diberikannya - serta sebahagian besar menteri lain dari Umno - kepada Muhyiddin dan Perikatan Nasional.

Di sebalik arahan MKT Umno agar ahli-ahli parlimen Umno menarik diri daripada kerajaan, Ismail Sabri serta enam menteri lain menolak daripada mengikut ketetapan tersebut.

Daripada sembilan ahli parlimen Umno yang dilantik Muhyiddin menyertai kabinetnya, hanya dua orang saja meletak jawatan iaitu Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) dan Noraini Ahmad (Parit Sulong).

Ahmad adalah ahli parlimen yang menyebelahi Ahmad Zahid.

Difahamkan keadaan berubah apabila sekurang-kurangnya 11 ahli parlimen yang memihak kepada Ahmad Zahid mengalih sokongan kepada Ismail Sabri.

Pada masa sama Ahmad menganggap Ismail Sabri sebagai calon yang berkelayakan.

"Dia berpengalaman, bekas menteri kanan dan bekas timbalan perdana menteri. Ismail Sabri adalah calon yang paling berkelayakan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS