Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CITF: Penutupan PPV di Lembah Klang akan berdasarkan data, belum muktamad

Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) mengingatkan orang ramai agar tidak merujuk senarai tular yang menunjukkan kebanyakan pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor mungkin ditutup tak lama lagi.

"Dipohon untuk tidak merujuk kepada lampiran yang dikongsikan kerana keputusan muktamad belum dibuat (dan ia) mungkin berubah dari masa ke masa," kata CITF dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Ditanya jika PPV di Selangor akan ditutup dan apakah sebabnya, CITF enggan mengesahkan perkara itu.

CITF bagaimanapun berkata, majoriti golongan dewasa di Lembah Klang telah menerima vaksin sebanyak dua dos.

Badan itu juga menyatakan keperluan untuk mengoptiumumkan penggunaan sumber, mengurangkan kos dan memastikan semua penduduk Malaysia mendapat akses vaksin Covid-19.

"CITF ingin memaklumkan sebarang penutupan PPV yang akan dilakukan berdasarkan kepada data yang melihat keperluan PPV di Lembah Klang, selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi di Lembah Klang yang telah mencapai lebih daripada 70 peratus populasi dewasa untuk dos kedua.

"CITF juga sedang memastikan tiada penduduk Malaysia yang ketinggalan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick).

"Untuk ini, CITF melihat kepada kepentingan mengoptimumkan penggunaan sumber serta penjimatan kos yang diimbangkan dengan keperluan untuk memastikan tiada kesukaran bagi mereka yang belum divaksinasi untuk berbuat demikian," kata badan itu lagi.

Setakat 17 Ogos, CITF melaporkan seramai 71.2 peratus penduduk dewasa di Lembah Klang telah menerima dua dos vaksin.

Ia menjadikannya sebagai kawasan ketiga tertinggi dari segi kadar vaksinasi dengan kebanyakan tempat lain di Malaysia masih ketinggalan. Sebagai perbandingan, hanya 24.7 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima dua dos vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga enggan mengesahkan senarai tersebut.

Menurut laporan portal The Vibes, Noor Hisham berkata kerajaan mungkin melibatkan lebih banyak klinik untuk membantu program vaksinasi.

"Sebaik saja kita telah mencapai liputan yang diperlukan, kita akan beralih dan fokus di negeri lain," katanya seperti dipetik.

Semalam, Malaysiakini melihat dokumen yang seakan cadangan untuk menutup kebanyakan PPV di Lembah Klang secara berperingkat bermula minggu depan.

Ia juga mencadangkan tempat vaksinasi yang boleh dituju penerima, termasuk klinik, PPV swasta dan Klinik Kesihatan.

Menurut senarai itu, PPV akan ditutup adalah:

  • Enam daripada lapan PPV di Klang
  • Empat daripada lima di Gombak
  • Dua daripada tiga di Kuala Selangor
  • 14 daripada 15 di Petaling
  • Tiga daripada 4 di Hulu Langat
  • Satu daripada dua di Hulu selangor
  • Dua di Kuala Langat
  • Dua di Sabak Bernam akan kekal beroperasi

MP Klang: Strategi salah

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata penutupan PPV berskala besar adalah "strategi salah".

Dia berkata bukan semua penduduk dewasa di Lembah Klang telah mendapat dos kedua, dengan ada yang tidak hadir temu janji atau mendaftar sebagai penerima.

Dia juga menyuarakan kebimbangan yang penutupan itu akan menyebabkan kesesakan di PPV lain, yang seterusnya membawa kepada penularan Covid-19.

Charles juga menyangkal tanggapan penutupan PPV bersamaan dengan penggunaan sumber yang lebih baik.

"Di Dewan Persatuan Hokkien Klang, kerajaan belanja antara RM3 juta hingga RM4 juta untuk menjadikannya PPV. Tidak sampai sebulan dan mereka nak menutupnya.

"Anda sudah laburkan wang di sana. Jadi mengapa mahu penuhkan PPV Hotel Wyndham Acmar, yang kini perlu memberi 20,000 suntikan sehari?" soalnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS