mk-logo
Berita
Banjir di Yan berpunca dari aktiviti pembersihan hutan, kata NGO
Diterbitkan:  Aug 19, 2021 2:50 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Kerajaan Kedah digesa mengadakan siasatan awam bebas berkenaan bah besar yang melanda Yan semalam bagi memahami punca sebenar bencana itu boleh berlaku.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), siasatan awam dan bebas itu juga boleh mengenal pasti kelemahan yang ada serta langkah pencegahan dan pemulihan yang boleh diambil.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini kedua-dia NGO itu mengambil maklum penafian dibuat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, melalui media yang banjir itu disebabkan pembalakan.

Bagaimanapun kata CAP dan SAM, ada sebab lain yang menyebabkan kejadian tersebut dan ia perlu dikenal pasti.

"Ia mungkin bukan pembalakan tetapi yang pasti ialah penebangan pokok dan pembersihan hutan.

"Banjir lumpur yang dilihat di dalam video mengenai insiden itu jelas menunjukkan kesan daripada aktiviti pembersihan tanah," kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, dan Presiden SAM, Meenakshi Raman.

Perlu hormat alam sekitar

Semalam berlaku bah mengejut menyebabkan beberapa petempatan di sekitar Gunung Jerai Yan dilanda banjir kilat dipercayai akibat kejadian kepala air dari kawasan air terjun di kaki gunung itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang turut menyebabkan kerosakan jalan raya dan kediaman.

Tiga mangsa maut ditemukan di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai dan tiga lagi yang hilang di kawasan Titi Hayun - setakat awal petang ini - masih belum ditemui. 

Menurut CAP dan SAM, sebelum ini mereka dan penduduk di Bukit Singkir, Yan sudah membantah projek kuari di Hutan Simpan Gunung Jerai sejak lebih 15 tahun lalu.

Katanya kuari itu dibenarkan beroperasi oleh kerajaan negeri ketika itu walaupun melanggar Rancangan Tempatan Yan.

"Tambahan pula, memang tidak seharusnya terdapat sebarang aktiviti pembersihan hutan di kawasan sensitif alam sekitar itu tetapi imej daripada Google menunjukkan banyak pokok ditebang dan operasi melombong berjalan," kata mereka.

Menurut NGO itu lagi semua aktiviti yang memusnahkan di kawasan ekosistem mudah terjejas perlu dihentikan dengan segera, disiasat dan langkah pemulihan diambil untuk mencegah kemungkinan berlaku kemusnahan lain seperti aliran lumpur, tanah runtuh dan banjir.

Katanya apa yang berlaku semalam merupakan peringatan serius dan menteri besar mestilah bertindak, bukannya melihat ia sebagai takdir.

CAP dan berkata Gunung Jerai merupakan kawasan sensitif yang mesti dilindungi.

"Kita tidak harus meneruskan aktiviti biasa seperti sebelum ini. Banjir besar penuh tragedi di Yan itu perlu dijadikan contoh.

"Kita perlu menghormati alam semula jadi, mengakui akan adanya batasan dan mengambil langkah pencegahan dengan segera," katanya.

Lihat Komen
ADS