Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sokongan PN kepada Ismail Sabri bersyarat'
Diterbitkan:  Aug 19, 2021 4:01 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini berkata sokongan yang diberikan gabungan itu kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri baru adalah bersyarat.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini Muhyddin berkata jika mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi perdana menteri nanti, naib presiden Umno itu mesti memastikan anggota kabinetnya terdiri daripada individu yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah.

"Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berpelembagaan," katanya.

Kenyataan itu hadir ketika semua 114 ahli parlimen yang dipanggil Istana Negara selesai menghadap Agong petang ini.

Tambah Muhyiddin PN sebulat suara bersetuju menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri baru membabitkan 50 ahli Dewan Rakyat gabungan tersebut.

Empat ahli parlimen bebas yang mesra PN, katanya, turut berbuat demikian.

"Saya juga berunding dengan pimpinan parti GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan PBS (Parti Bersatu Sabah) yang membentuk kerajaan persekutuan sebelum ini untuk mengambil ketetapan sama.

"Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan perhatian kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum bagi mengembalikan mandat rakyat," katanya.

Mesti berjiwa besar

Presiden Bersatu itu juga menegaskan, pendirian bersama PN itu juga menunjukkan mereka mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

"Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli-ahli politik mesti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Negara bakal mendapat perdana menteri baru selepas Muhyiddin melepaskan jawatannya ekoran kehilangan sokongan majoriti dalam kalangan ahli parlimen.

Di sebalik kritikan sesetengah pihak kepada pembangkang sebagai punca krisis sekarang, ia bermula dengan langkah diambil kepemimpinan tertinggi Umno yang mengarahkan ahli parlimen mereka membatalkan sokongan mereka kepada Muhyiddin.

Bagaimanapun tidak semua ahli parlimen Umno mengikut ketetapan berkenaan. Daripada sembilan menteri yang dipilih Muhyiddin sebelum ini, hanya dua yang meletak jawatan.

Selebihnya - diketuai Ismail Sabri - kekal memberikan sokongan kepada PN dan Muhyiddin.

Namun pembatalan sokongan ahli parlimen lain daripada Umno membuat kedudukan Muhyiddin tidak dapat dipertahankan. Ahli parlimen Pagoh itu memberi bayangan usaha menjatuhkannya digerakkan oleh pemimpin Umno yang sedang berdepan dengan kes mahkamah.

Pelantikan perdana menteri baru dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Untuk rekod raja-raja Melayu dilaporkan akan bertemu Agong di Istana Negara esok dalam perkembangan yang dipercayai ada kaitan dengan pelantikan perdana menteri baru.

Menurut Muhyiddin dia berharap proses pelantikan perdana menteri yang baru dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan mengikut kehendak perlembagaan.

"Selaku pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiap parti bagi menghadapi PRU ke-15 apabila tiba masanya nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS