mk-logo
Berita
Annuar sarankan 'seni bina politik baru untuk masa depan'
Diterbitkan:  Aug 19, 2021 5:27 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menyarankan parti-parti politik yang akan membentuk kerajaan tidak lama lagi agar memikirkan pembentukan entiti tunggal yang menyatukan mereka.

Melalui cara itu katanya dasar utama mereka boleh dirundingkan bersama dan dari situ diberikan kepada kerajaan sebagai panduan untuk pelaksanaan.

Kata ahli parlimen Ketereh itu lagi pengalaman dua kerajaan yang "tidak stabil" sebelum ini - Pakatan Harapan (PN) dan Perikatan Nasional (PN) - perlu dijadikan paduan.

Pendekatan inklusif, kata Annuar, juga dititahkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

"Mungkin sampai masanya parti-parti politik dalam negara kita mula memikirkan a new political architecture (seni bina politik baru) untuk masa depan," katanya.

Cadangan Annuar itu dibuat ketika orang ramai tertunggu-tunggu pengumuman rasmi mengenai perdana menteri kesembilan Malaysia - atau yang ketiga sejak PRU ke-14 lalu - bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Ketika ini Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob disebut-sebut akan dilantik berdasarkan tindakan Istana Negara memanggil 114 ahli parlimen Umno-BN, PN, dan GPS menghadap Agong hari ini.

Untuk rekod Umno bukanlah sebahagian daripada komponen PN. Ia menyaksikan parti itu mengambil tindakan menarik balik sokongan mereka daripada PN dan Muhyiddin baru-baru ini.

Bagaimanapun untuk rekod, seperti Ismail Sabri, Annuar adalah antara ahli parlimen Umno yang tidak mengikut ketetapan Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, sebaliknya terus memberikan sokongan kepada Muhyiddin.

Petang ini Muhyiddin menyatakan, PN tetap menjadi kerajaan selepas ini dan ia hanya dibezakan oleh ahli parlimen yang menjadi perdana menteri.

Menurut Annuar ketika ini ramai orang belum memahami "realiti politik semasa" justeru mereka cuba mendominasi atau memaksakan sesuatu kehendak tanpa mengambil kira perubahan landskap politik.

Katanya ada antara mereka bercakap mengenai konsep parti menguasai kerajaan.

"Sebenarnya konsep ini sukar dilaksanakan kerana sebenarnya tiada satu parti pun yang menguasai. Yang menguasai adalah coalition (gabungan) itu sendiri, dan bukannya parti," katanya.

Lihat Komen
ADS