Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Peserta himpunan kenang korban Covid-19 dibebas, denda keseluruhan RM62,000
Diterbitkan:  Aug 20, 2021 8:41 AM
Dikemaskini: 12:50 AM

Sekumpulan 31 aktivis yang ditahan polis selepas menyertai himpunan memperingati korban Covid-19 semalam dibebaskan awal pagi ini.

Mereka masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 - dengan jumlah keseluruhan RM62,000 - kerana melanggar peraturan yang menghalang perhimpunan diadakan ketika penularan wabak Covid-19.

Kumpulan anak muda itu merangkumi 17 lelaki dan 14 perempuan, dan antaranya daripada Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), yang merupakan penganjur protes #Lawan baru-baru ini.

Mereka pada mulanya berkumpul di Dataran Merdeka dan menyalakan lilin di bawah pengawasan ketat pihak polis.

Polis kemudian menghentikan himpunan kira-kira pada pukul 8.30 malam selepas kenyataan SSR dibaca peserta, sebelum merampas kad pengenalan peserta.

Beberapa anggota polis juga didengar memberitahu peserta untuk mengikut mereka ke balai polis Dang Wangi untuk "tujuan dokumentasi".

Polis kemudian dilihat mengheret sejumlah peserta menaiki lori Black Maria yang kemudian membawa mereka ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi yang tidak jauh dari situ.

Dalam satu hantaran ringkas di Facebook, Bersih memaklumkan semua tahanan dibebaskan kira-kira pada pukul 1.10 pagi.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataan semalam, berkata polis telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Noor Dellhan juga menasihati orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Setakat semalam, seramai 13,480 pesakit Covid-19 telah meninggal dunia sejak wabak itu mula menular di Malaysia.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS