Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya rasa lega' - kata Muhyiddin pada isteri sebelum serah surat letak jawatan
Diterbitkan:  Aug 21, 2021 11:24 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Selepas selesai menunaikan sembahyang Subuh berjemaah pada pagi 16 Ogos, Muhyiddin Yassin duduk dan berbual-buat sekejap dengan isterinya, Noorainee Abdul Rahman, seperti lazimnya.

“Macam mana awak rasa?” tanya Noorainee.

“Saya rasa lega,” jawab Muhyiddin. “Beban ke atas saya sebagai seorang perdana menteri, selepas daripada hari ini, sudah tiada lagi.”

Kemudian, pada hari sama, Muhyiddin menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong setelah hanya 17 bulan mengetuai pentadbiran negara.

Dia turut berjumpa dengan kakitangannya di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya. Di situlah dia mengimbau perbualan selepas Subuh itu bersama isterinya, serta bercakap soal menangani wabak Covid-19.

Satu rakaman pertemuan itu disiarkan di Facebook semalam, tidak lama selepas Istana Negara mengumumkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan.

Menceritakan beban tanggungjawab yang harus digalasnya, Muhyiddin berkata: “Saya kena buat (perkara) betul, bukan pasal saya rasa betul. Tapi (kerana) Allah kata ini yang betul.

“Kamu tidak buat apa yang kamu rasa betul, tetapi kamu buat perkara yang betul - ada bezanya. Kamu mungkin rasa ini adalah perkara betul, tetapi Allah kata ini tidak betul. Saya percaya akan ini.

“Soal rasuah tak boleh, sebab hukumnya haram...Sebab itu, saya sanggup bercakap apa yang benar walaupun pahit. Jadi inilah prinsip saya.”

‘Saya akan kembali’

Mengakui yang jawatan bukanlah suatu yang kekal, Muhyiddin secara berseloroh berkata dia mungkin hanya akan disebut dalam nota kaki sejarah:

“(Disebut) Pernah ada seorang perdana menteri ini, nama dia Muhyiddin Yassin (atau) Mahiaddin Yassin, menjadi perdana menteri kelapan. Mungkin dia punya bab itu kecil saja, pasal saya tak lama kan”.

“Tapi saya rasa patut berbangga kerana kita sudah cuba. Ini soal prinsip. Saya harus beritahu, ini penting. Buat apa yang Allah kata betul. Lawan kejahatan, itu pokoknya,” tambah Muhyiddin.

Dia turut mengimbau ketika memberi makluman kepada pegawainya selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 2015 oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

“Selepas ditendang saya keluar, (saya) balik ke pejabat TPM.

“Tak lama saya duduk. Saya cakap, maaf, kita kena berkemas. Saya baru jumpa Najib, dia pecat saya.

“Saya ambil satu novel. Saya tak ada rahsia di dalam laci saya, tak ada surat-surat. Kami kemas cepat, sebab kami tahu kami tak ada buat apa-apa yang salah.

“Hari ini, begini lagi...Kehidupan memang beginilah. Yang naik ke atas, mungkin turun ke bawah. Tetapi yang turun ke bawah, Insya-Allah, saya akan kembali,” katanya disambut tepukan.

Terdahulu, Muhyiddin berkata dia menjadi perdana menteri dalam waktu yang sukar, di tengah penularan Covid-19, sehingga pentadbirannya dikatakan gagal mengawal wabak berkenaan.

“Saya mungkin perdana menteri paling pendek memegang jawatan. Saya kira saya telah buat apa yang saya fikir diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata, menentukan mereka ada makanan di atas meja, dan nyawa mereka selamat.

“Ini adalah aspek-aspek kehidupan yang penting sesebuah negara. Saya fikir, mungkin Allah mengangkat saya ke darjat ini untuk tujuan itu agaknya.

“Sekarang alhamdulillah, di penghujung perjalanan yang saya hadapi hari ini, kita dah lihat, usaha yang saudara-saudari telah buat bersama saya di PMO ini, apa lagi seluruh penjawat awam di semua peringkat negara kita, saya rasa kita sudah mengecap sedikit kejayaan,” katanya.

Di kala sesetengah negara masih lagi bergelut untuk mendapatkan vaksin, kata Muhyiddin, kadar vaksinasi di Malaysia adalah luar biasa dan negara mempunyai stok yang lebih daripada mencukupi.

Jelas merujuk kepada presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Najib, dia menegaskan bahawa ada pihak yang "gila kuasa" ketika rakyat sedang dilanda kesusahan.

'Kami dah cuba, tapi susah'

Bercakap mengenai kesusahan yang dialami rakyat, Muhyiddin mengimbas waktu dia mengagihkan bahan makanan di kawasan parlimennya, Pagoh di Johor. Dia mengakui berasa bertanggungjawab atas situasi berkenaan.

“Tak pernah saya lihat Malaysia ini susah sebegitu rupa. Saya turun bekalkan ayam, daging, ikan, sayur, yang mana saya tak pernah lakukan sepanjang karier sebagai ahli parlimen Pagoh.

“Saya edarkan ribuan agihan (makanan) segar ini. Kenapa? Kerana dia dah tak ada duit lagi, nak makan pun tak ada.

“Saya rasa bertanggungjawab kerana saya perdana menteri. Tetapi kalau kata saya yang bertanggungjawab kerana saya tak buat apa-apa, itu tak betullah. Kami sudah cuba, tetapi ia sukar

“Lockdown tak berhenti-henti sampai sekarang. Saya tak tahulah, saya dah lupa berapa kali lockdown … Ada orang kata (lockdown) kurang berkesan, tapi ia mempunyai kesan dalam menyelamatkan nyawa.

Menyentuh soal keputusannya untuk melonggarkan sekatan, kata Muhyiddin, pada hujung tahun ini, semua sektor ekonomi akan beroperasi.

“Jadi hanya satu tahun kita bergelut, tetapi dalam satu tahun itu juga kita membuat pencapaian. Ada rekodnya.

“Ini saya terpaksalah mendabik dada sikit, pasal tak ada orang nak puji saya pun, dan saya tak minta mereka memuji saya.

“Pasal kita tahu apa yang kita buat, tak pernah abai Covid-19 ini sejak awal lagi kita hadapi sampai sekarang.

“Jemaah menteri dan kerajaan yang saya bentuk, selama ini, tak ada apa (yang menjadi tumpuan selain) Covid, Covid, Covid, Covid...siang malam.

“Jadi apabila orang kata kami tidak melakukan apa yang kami patut lakukan, saya rasa mereka silap," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS