Tarif baru air KL, Selangor mulai esok
Mulai esok, kadar tarif air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dinaikkan antara RM1.03 dan RM2 setiap meter padu bagi kegunaan domestik yang melebihi 20 meter padu dan 35 meter padu sebulan.
Mulai esok, kadar tarif air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dinaikkan antara RM1.03 dan RM2 setiap meter padu bagi kegunaan domestik yang melebihi 20 meter padu dan 35 meter padu sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Datuk Abdul Fatah Iskandar berkata kenaikan itu adalah pada kadar 13.7 peratus (RM1.03) untuk kegunaan antara 20 meter dan 35 meter padu sebulan berbanding RM0.91 sebelum ini.
Bagi penggunaan air melebihi 35 meter padu, kadarnya naik sebanyak 17.5 peratus (RM2) bagi setiap meter padu berbanding RM1.70 sebelum ini.
Menurut laporan Bernama, Tarif air bagi pengguna domestik yang menggunakan air kurang daripada 20 meter padu sebulan bagaimanapun tidak naik iaitu kekal pada RM0.57 sen bagi setiap meter padu.
Bagi air jenis komersial kenaikan adalah antara 15 peratus atau RM2.07 bagi penggunaan air di bawah 35 meter dan bagi penggunaan melebihi 35 meter padu, kenaikan adalah sebanyak 1.8 peratus atau RM2.28.
Sebelum ini penggunaan air komersial di bawah 35 meter padu adalah RM1.80 bagi setiap meter padu dan penggunaan melebihi 35 meter padu sebanyak RM1.92.
Abdul Fatah berkata penyelarasan itu dianggap sebagai tarif penjimatan dan tidak membebankan pengguna.
Sebahagian daripada pengguna akan mengalami penurunan kadar tarif manakala sebahagian pengguna yang tidak mengamalkan penggunaan air secara berhemah dan berjimat akan dikenakan "penalti" berdasarkan struktur baru yang diperkenalkan.
"Pihak kerajaan merasakan bahawa dengan penyelarasan tarif baru ini, pengguna air akan lebih berhemah apabila menggunakan air dan menggalakkan penjimatan dalam penggunaan air," katanya.
Penyelarasan tariff
Berdasarkan perangkaan, katanya, 45 peratus daripada kira-kira 7.1 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menggunakan air kurang daripada 20 meter padu sebulan.
Usaha penyelarasan tarif itu juga bagi memastikan pengguna terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak dibebani dengan jumlah bil air yag tidak sekata serta mengambil kira kepentingan para pelabur, katanya.
Abdul Fatah berkata adalah tidak wajar untuk peniaga mengambil kesempatan daripada penyelarasan tarif air itu untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
"Naik banyak itu sahaja, lebih kurang 15 peratus, tidak patutlah hendak naik barang-barang," katanya.
Berdasarkan contoh yang diberikan dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini sempena pengumuman tarif baru air itu, purata bil air bagi kedai kopi bersaiz sederhana adalah antara 2.7 peratus dan 4.6 peratus dari jumlah perolehan dan dengan penyelarasan tarif itu, peratus kos air terhadap perolehan hanya naik antara 0.5 peratus dan 0.8 peratus.
Abdul Fatah berkata penyelarasan tarif itu akan membolehkan penghuni kediaman jenis kondominium, pangsapuri, kuarters kerajaan dan rumah kediaman di estet menikmati kadar sedia ada seperti kediaman biasa (domestik) sekiranya mereka memilih menggunakan meter individu.
Garis panduan mengenai penukaran daripada meter pukal kepada meter individu akan disediakan dan semua penghuni bangunan perlu mencapai persetujuan untuk menukar kaedah pembilan air mereka kepada meter individu, katanya.
Beliau juga berkata satu mesyuarat akan diadakan antara kerajaan negeri dan Perbadanan Pengurusan Bangunan minggu depan bagi mendapatkan maklum balas untuk menyediakan garis panduan itu.

