Tidak wujud situasi negara polis, kata KPN

   

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan polis tidak pernah mewujudkan keadaan di mana negara ini boleh dianggap sebagai negara polis.

Sebaliknya menurut beliau, PDRM kini sebenarnya lebih terbuka kepada pendapat dan pandangan orang ramai.

"Ini boleh dilihat di mana saya sendiri mengadakan siri perbincangan seperti yang diadakan dengan pihak Majlis Peguam dan badan-badan lain bukan kerajaan untuk berbincang berkaitan rungutan dan aduan orang ramai," katanya.

Beliau juga menyatakan, PDRM tidak pernah menahan sesiapa untuk disoal siasat kerana menganjurkan perhimpunan awam untuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya polis bukan sahaja tidak menganggu perhimpunan sedemikian, malahan memberikan kawalan keselamatan yang lebih ketat untuk bekas Perdana Menteri itu sejak insiden beliau terkena semburan gas pemedih mata dalam satu perhimpunan di Kelantan pada 28 Julai lepas.

Musa berkata demikian dalam satu kenyataan kepada Bernama sebagai menjawab dakwaan Dr Mahathir pada 27 Oktober lepas kononnya polis akan mengganggu dan mengugut sesiapa yang cuba mengadakan majlis yang mungkin mengkritik Perdana Menteri serta menahan dan menyoalsiasat mereka.

Menurut laporan Bernama, dalam surat terbukanya itu, Dr Mahathir turut mendakwa bahawa Malaysia adalah sebuah negara polis.

Musa berkata polis tidak pernah menolak sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan melainkan setelah disiasat dengan teliti, mendapati perhimpunan itu boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau menjelaskan, dalam menimbang sebarang permohonan, polis akan mengkaji sama ada terdapat isu-isu yang berunsur hasutan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, ataupun merosakkan harta benda atau mengancam nyawa orang ramai.

"Polis tidak pernah mengugut sesiapa yang ingin mengadakan perhimpunan atau majlis awam.

"Jika sesuatu perhimpunan yang telah mendapat permit, polis akan memantau dan sekiranya perhimpunan itu dijangka akan mendatangkan keadaan yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, maka majlis itu akan dinasihatkan atau diarah dihentikan," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In