Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umno Bahagian Kelang, Datuk Zakaria Mohd Deros menitiskan air mata dalam sidang media pertamanya sejak dilanda kontroversi "Istana Datuk Zakaria" dua minggu lalu.

Beliau memanggil sidang akhbar itu bagi menjelaskan sebab musabab membina membina "istana" yang dikatakan mempunyai 17 buah bilik itu.

Menurutnya, "istana" tersebut adalah untuk keperluan keluarganya yang besar iaitu seramai 31 orang.

"Keluarga saya besar...anak saya 11 orang, tujuh menantu dan 11 cucu. Rumah lama ini sudah tidak mampu menampung jumlah yang besar tersebut kerana hanya ada dua bilik tidur.

"Tidak terniat di hati saya sebesar kuman sekalipun untuk menunjuk atau atau membangga diri membina sebuah rumah yang dikatakan ala `Istana Datuk Zakaria'," katanya dalam sidang media di rumah lamanya di Kampung Idaman, Pelabuhan Kelang hari ini.

"Istana" Zakaria yang didakwa bernilai RM8 juta itu masih dalam proses pembinaan terletak di tengah-tengah Kampung Idaman, Pandamaran, tidak jauh dari rumah lamanya.

Sepanjang sidang akhbar tersebut beliau menitiskan air mata di hadapan puluhan wartawan dan penyokongnya. Bagaimanapun Zakaria sekadar membacakan kenyataan akhbarnya dan tidak membenarkan sebarang soal jawab sepanjang sidang media tersebut.

Menurut beliau lagi, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Kelang dan Ketua Umno bahagian Kelang, beliaunya menjadi tempat orang ramai datang mengadu dalam pelbagai urusan.

"Rumah lama ini tidak dapat menampung kehadiran mereka. Tempat meletak kereta juga terhad sehingga mereka terpaksa meletakkan kenderaan di depan rumah jiran dan ini menimbulkan rungutan di kalangan mereka.

Berikutan itu, katanya beliau dan isterinya Datin Zizah Ngah mengambil keputusan untuk membina sebuah rumah baru bagi menampung keperluan tersebut.

"Saya mengakui kesilapan rekabentuk yang kurang sesuai dengan keadaan sekitar kampung ini. Sebenarnya rumah baru ini merupakan projek jangka panjang keluarga kami.

"Rumah baru ini ada surau kecil dan pusat tuisyen untuk penduduk setempat. Jika niat kami ini salah saya minta maaf. ," katanya.

Katanya, keputusan membina rumah baru di Kampung Idaman juga kerana keluarganya sudah 30 tahun menetap di kampung tersebut dan tidak mahu berjauhan dengan penduduknya.

Menurutnya lagi, beliau tidak berniat untuk menyalahguna kuasa sebagai seorang Adun dan ahli majlis Majlis Perbandaran Kelang (MPK).

"Saya juga tertakluk kepada undang-undang dan sebab itu saya mengemukakan pelan kepada MPK sebelum membina rumah," katanya lagi.

Beliau juga mahu masyarakat menghentikan spekulasi dan tidak memandang serong kepada beliau dan keluarganya serta berharap kontroversi ini ditamatkan segera.

Katanya, beliau telah menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum Perdana Menteri berlepas ke China baru-baru ini.

Menurutnya, Perdana Menteri meminta beliau bersabar menghadapi dugaan dari media massa mengenai isu tersebut.

Zakaria berkata, beliau gagal menghadap Sultan Selangor pada 20 dan 23 Oktober lalu atas sebab-sebab kesihatan dan diarahkan oleh doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah Kelang untuk berehat.

ADS