Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemecatan sarjan: Persatuan minta ahli veteran tidak campur tangan
Diterbitkan:  Aug 23, 2021 5:07 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Persatuan Veteran ATM (PVATM) menyeru supaya ahli veterannya tidak campur tangan atau membuat sebarang komen negatif berkaitan isu pemberhentian Sarjan Wan Ramli Wan Seman daripada batalion 24 Rejimen Askar Melayu DiRaja.

Dalam satu kenyataan, persatuan itu berkata bahawa adalah kurang wajar bagi kalangan veteran yang telah bersara dari perkhidmatan tentera untuk campur tangan dalam hal ehwal perkhidmatan anggota tentera yang diambil tindakan.

"PVATM menyeru dan memohon rakan seperjuagan veteran sekelian agar tidak campur tangan ataupun membuat sebarang komen negatif terhadap apa-apa perkara mengenai anggota yang sedang berkhidmat.

"Kita mesti memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap pucuk pimpinan tentera untuk mengurus dan mentadbir ATM, iaitu sebuah organisasi yang pernah kita menjadi sebahagian daripadanya.

"Janganlah hendaknya kita veteran menjadi virus yang boleh melunturkan kesetiaan, perjuangan dan pengorbanan kita kepada negara dan bangsa selama ini," kata presidennya, Sharuddin Omar.

Dia berkata demikian susulan terdapatnya beberapa artikel dan video yang tular di media maya daripada warga veteran ATM yang mengkritik tindakan terhadap Wan Ramly yang disifatkan sebagai diberhentikan secara tidak terhormat dan teraniaya.

Ini kerana sarjan tentera itu didakwa ingkar arahan untuk divaksinasi Covid-19.

Sharuddin berkata, PVATM berpendapat bahawa memberi komen negatif yang boleh mempengaruhi pemikiran veteran yang lain yang sama-sama tidak mengetahui hujung pangkal isu sebenar.

"Saya percaya pihak berwajib dalam ATM telah membuat pertimbangan sewajarnya daripada semua sudut sebelum mengambil sebarang tindakan dan keputusan ke atas sesuatu perkara dan isu.

"Dalam konteks ini, PVATM berpendapat keengkaran Wan Ramli selaku seorang yang telah berkhidmat selama 19 tahun dan berpangkat Ssrjan untuk divaksinasi boleh membahayakan banyak pihak, di antaranya rakan-rakan kerja, komuniti tempat kediamannya, orang ramai serta keluarga dia sendiri.

"Sekiranya keengkaran perintah atau arahan yang dilakukannya tidak diambil tindakan dan dibendung maka ia boleh mempengaruhi rakan-rakan yang lain, dan ini akan menjejaskan moral dan semangat keseluruhan organisasi bukan sahaja di unit dia bertugas malahan di seluruh organisasi ATM," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Wan Ramli dihentikan perkhidmatannya selepas didakwa enggan mengambil vaksin Covid-19.

Arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan berkuatkuasa 26 Ogos ini.

Lihat Komen
ADS