Persatuan bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Mubarak) sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan kedua antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menyelesaikan perselisihan pendapat antara mereka.

Bekas Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul berkata ini berikutan pertemuan pertama Dr Mahathir dengan Abdullah yang diatur oleh Mubarak pada 22 Oktober lalu tidak mencapai matlamatnya.

Othman adalah salah seorang daripada empat wakil Mubarak yang terbabit mengatur pertemuan pertama itu dua dua hari sebelum Hari Raya Adilfitri yang lalu.

Tiga orang lagi ialah Pemangku Presiden Mubarak, Datuk Abu Zahar Ujang; Tan Sri Zaleha Ismail dan Datuk Badri Yunus.

Othman berkata bekas Perdana Menteri itu telahpun menyatakan persetujuan untuk menghadiri pertemuan kali kedua ini.

Beliau berkata, Dr Mahathir menyatakan persetujuan tersebut dalam pertemuan dengan wakil Mubarak, termasuk beliau sendiri, di pejabat bekas Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya Isnin lalu.

16 muka surat

Ketika dihubungi malaysiakini, pertemuan tersebut diadakan kerana Dr Mahathir mahu menyerahkan transkrip pertemuan beliau dengan Perdana Menteri pada 22 Oktober lalu.

Dokumen setebal 16 muka surat mengandungi 18 perkara utama yang ditimbulkan oleh Dr Mahathir kepada Abdullah, antaranya ialah peranan Khairy Jamaluddin dalam penggabungan ECM Libra dengan Avenue Capital serta kontrak pengangkutan arang batu oleh syarikat Scomi untuk Tenaga Nasional.

Menurut Othman lagi, selain bersetuju bertemu sekali lagi dengan Abdullah, Dr Mahathir juga bersedia untuk menemui Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menerangkan rasa tidak puashatinya dengan kerajaan.

Othman juga menjelaskan bahawa akan berusaha mencari formula baru dan yang lebih baik bagi memastikan pertemuan kali kedua ini berjaya mendamaikan kedua-dua pemimpin terbabit.

Perbincangan awal di peringkat Mubarak dijangka diadakan minggu depan, katanya.

Berikutan, katanya, adalah terlalu awal untuk menyatakan bila dan di mana pertemuan kali kedua itu bakal diadakan.

Othman juga berkata, walaupun tujuan asal pertemuan Isnin adalah untuk menerima transkrip tersebut, tetapi wakil Mubarak turut mengambil peluang itu untuk mengemukakan cadangan baru itu kepada Dr Mahathir.

Dr M setuju

"Dan Dr Mahathir bersetuju dengan cadangan tersebut dan menyerahkan kepada Mubarak untuk mengaturnya," katanya.

Dr Mahathir dan Abdullah mengadakan pertemuan empat mata dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri tetapi sejurus selepas pertemuanitu, Dr Mahathir mengadakan dua sidang akhbar mengkritik Abdullah selain mengeluarkan sepucuk surat terbuka yang mendakwa Malaysia kini menjadi sebuah negara yang penuh ketakutan.

Tindakan Dr Mahathir itu dikritik hebat oleh pemimpin Umno, termasuk Abdullah sendiri, yang menyifatkannya sebagai satu 'serangan bisa'

Malah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid telah menggesa Dr Mahathir supaya melepaskan jawatannya dalam agensi dan syarikat kerajaan jika bekas Perdana Menteri itu mahu terus mengkritik Perdana Menteri.

Dr Mahathir merupakan penasihat kepada Petronas, Proton dan Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA).