Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Upko sertai Pakatan Harapan
Diterbitkan:  Aug 26, 2021 5:53 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) diumumkan menjadi parti komponen terbaru Pakatan Harapan (PH).

Penyertaan parti berpangkalan di Sabah itu diumum Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail petang ini.

Upko ketika ini diketuai Wilfred Madius Tangau yang juga ahli parlimen Tuaran.

Ketika ini ada tiga parti yang membentuk PH iaitu PKR, Amanah dan DAP, selepas Bersatu dibawa keluar meninggalkan gabungan berkenaan pada Feb tahun lalu.

Ia kemudian menyaksikan PH - yang mendapat mandat untuk menguasai Putrajaya melalui PRU ke-14 lalu - dijatuhkan.

Perkembangan itu juga menyaksikan kemelut politik dalam negara berlarutan sehingga kini.

Selepas gagal mendapatkan kembali kerajaan ekoran pengunduran Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, daripada jawatannya sebagai perdana menteri minggu lalu, PH kini dalam usaha memperkukuh gabungan tersebut.

Beberapa pemimpin parti komponennya menggesa agar PH mempelawa parti lain untuk menyertai mereka sebagai persediaan menghadapi PRU ke-15 tidak lama lagi.

Saifuddin Nasution

Untuk rekod sebelum ini Upko merupakan sebahagian daripada anggota BN namun meninggalkan gabungan berkenaan selepas PRU lalu dan memihak kepada Warisan - sebuah lagi parti yang berpangkalan di Sabah.

Menurut Saifuddin Nasution sebelum ini Upko mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai PH.

"Mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen PH.

"Kami percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju PRU ke-15," katanya.

Seperti yang diumum sebelum ini, tambah Saifuddin Nasuition, satu pertemuan membabitkan ketua-ketua parti pembangkang juga akan diadakan tidak lama lagi untuk membincangkan isu-isu semasa politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang parlimen pada 6 Sept ini.

Pagi tadi Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang berkata semua parti pembangkang wajar mempertimbangkan pelawaan PH untuk menyertai mereka.

"Pembangkang harus terlebih dahulu menyelesaikan perbezaan sesama mereka sebelum dapat membuat dasar bersama dan rancangan yang efektif untuk membawa negara ke depan, seperti menangani pandemik serta memulihkan ekonomi," katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Lihat Komen
ADS