Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
4,559 individu di Perak dapat rawatan mental hingga Jun

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini diberitahu, seramai 4,559 individu telah mendaftar dan mendapat rawatan sebagai pesakit mental di klinik kesihatan kerajaan sejak enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata mengikut statistik yang diperoleh daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, jumlah itu rendah berbanding kes yang didaftarkan sepanjang tahun lepas iaitu 5,213 kes.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong) yang ingin tahu statistik individu yang mengalami masalah gangguan mental dan tekanan perasaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Wan Norashikin berkata tekanan jiwa, masalah kewangan, penyakit, masalah dadah dan sakit mental antara punca seramai 80 individu membunuh diri hingga Julai lepas.

Menyentuh mengenai langkah pencegahan yang diambil, beliau menegaskan kerajaan negeri telah bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau menarik perhatian antara langkah yang telah diambil adalah seperti pelantikan seramai 270 sukarelawan sebagai Skuad Waja Perak yang digerakkan di semua 24 Parlimen bagi memberi latihan dan bimbingan sokongan psikososial kepada pembangunan wanita dan masyarakat.

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Perak pula telah menjalankan beberapa program kesedaran secara dalam talian iaitu Wanita Anti Jenayah (WAJA), Destress Clinic dan Legal Clinic untuk tujuan kesedaran umum berkaitan masalah gangguan mental dan tekanan perasaan, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS