Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa khas putuskan jika Lembah Klang boleh beralih ke Fasa 2 PPN
Diterbitkan:  Aug 30, 2021 11:14 AM
â‹…
Dikemaskini: 5:17 AM

Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan kabinet akan membuat keputusan sama ada Lembah Klang boleh beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) atau sebaliknya, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata ini kerana kadar vaksinasi di Lembah Klang kini sudah mencapai lebih 80 peratus.

"Syabas Lembah Klang kerana kadar vaksinasi cemerlang yang sudah mencapai lebih 80 peratus.

"Dengan ini saya berpendapat bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke fasa seterusnya.

"Semua ini bakal diputuskan selepas saya berbincang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan kabinet yang akan dipengerusikan saya nanti, InsyaAllah. 

"Sekali lagi saya sangat berbangga dengan semua orang yang terlibat dan pencapaian luar biasa ini," katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Semalam, Ismail berkata kadar vaksinasi lengkap untuk populasi dewasa di Lembah Klang telah mencapai 89.5 peratus.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses ke Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebanyak 90.3 peratus individu dewasa di Lembah Klang telah melengkapkan vaksin sepenuhnya setakat 29 Ogos.

Jumlah itu merupakan 66.1 peratus daripada jumlah penduduk di Lembah Klang berdasarkan data banci 2010.

Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini memperkenalkan PPN pada bulan Jun bagi menangani Covid-19.

Sekatan dilonggarkan di negeri-negeri yang mencapai sasaran tertentu berkaitan kapasiti penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU), jumlah kes harian dan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

Terdapat empat fasa dalam PPN, dengan Fasa Satu yang paling ketat dan Fasa Empat lebih longgar.

Walaupun kadar vaksinasi tinggi, Lembah Klang terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi di seluruh negara.

Semalam sahaja sebanyak 5,289 kes dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengumuman Ismail Sabri dibuat setelah kerajaan melonggarkan sekatan untuk individu yang telah melengkapkan vaksin di negeri-negeri yang berada di bawah Fasa Satu PPN.

Kemasukan ke ICU catat penurunan

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kadar vaksinasi Covid-19 yang meningkat khususnya di Lembah Klang terus menunjukkan tanda-tanda awal yang positif.

"Terkini, kemasukan pesakit Covid-19 ke ICU di hospital-hospital Lembah Klang menunjukkan trend penurunan selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos yang lengkap.

"Di Hospital Sungai Buloh khususnya, kemasukan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 semakin berkurangan," katanya dalam catatan di Facebook.

Noor Hisham turut berkongsikan grafik yang menunjukkan penurunan kemasukan pesakit ke ICU di Hospital Sungai Buloh.

Lihat Komen
ADS