Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MTUC bantah tindakan syarikat buang pekerja enggan divaksin
Diterbitkan:  Aug 30, 2021 3:54 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengkritik majikan yang mengambil tindakan disiplin terhadap pekerja yang enggan mendapatkan vaksin Covid-19.

Menegaskan MTUC sendiri menggalakkan para pekerja untuk mengambil vaksin bagi "kebaikan dan keselesaan semua pihak", setiausaha agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata kerajaan tidak mewajibkan pengambilan vaksin menurut undang-undang.

"Oleh kerana kerajaan tidak menjadikan pengambilan vaksin sebagai kewajipan, maka syarikat tidak boleh menjadikan ingkar mengambil vaksin sebagai alasan yang adil dan wajar untuk memberhentikan pekerja.

"Syarikat tidak boleh menjadikan isu vaksin sebagai sebab atas tindakan disiplin umpama 'lebih lajak dari laju'...sedangkan kerajaan memberi kelonggaran terhadap kewajipan pengambilan vaksin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Baharin berkata kerajaan perlu melihat perkara itu dan merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk majikan mengendalikan isu pekerja yang enggan divaksin.

"Jangan biarkan perkara ini diuruskan oleh pihak pekerja dan syarikat tanpa panduan daripada kerajaan," katanya lagi.

Walaupun pengambilan vaksin tidak diwajibkan, pihak berkuasa menetapkan kadar vaksinasi pekerja kepada syarikat yang ingin beroperasi ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Misalnya pengendali restoran perlu memastikan 80 peratus pekerja divaksin penuh sebelum boleh menerima pelanggan di premis.

Kerajaan juga hanya membenarkan mereka yang divaksin penuh untuk makan di restoran.

Lihat Komen
ADS