Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ mahu kurangkan kes Covid-19 serius, kes kematian tanpa dirawat di hospital

WAWANCARA | Sebagai menteri kesihatan yang baru, Khairy Jamaluddin menyasarkan untuk menurunkan kes Covid-19 yang serius serta kematian pesakit tanpa rawatan hospital (brought-in-dead, BID) dalam masa 94 hari.

Dua sasaran itu sebagai petunjuk utama pencapaiannya, kata Khairy dalam wawancara bersama media semalam, di mana dia membentangkan senarai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dicapai dalam 100 hari pertama menerajui Kementerian Kesihatan (KKM).

"...Saya ingin fokus kepada dua sasaran utama - iaitu bilangan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang merupakan petunjuk proksi bagi tahap keseriusan wabak.

"Kedua adalah bilangan kes BID. Kita ingin kurangkan bilangan mereka yang meninggal di luar hospital.

"Ini yang kita mahu capai dalam 100 hari pertama," katanya dalam wawancara di KKM di Putrajaya.

Barisan menteri baru diberi masa 100 hari oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menunjukkan prestasi mereka - bermula hari mereka mengangkat sumpah jawatan pada Isnin lalu.

Bagi kes ICU, sasaran yang ditetapkan adalah menurunkan penggunaan katil ICU di bawah paras 70 peratus. Menurut Khairy, katil ICU yang diperuntukkan kepada pesakit Kategori 4 dan 5 mencerminkan tahap keseriusan situasi penularan.

Bagi katil di wad biasa, dia ingin melihat penggunaannya di bawah 50 peratus daripada kapasiti yang ditetapkan untuk rawatan Covid-19.

Bagi BID pula, dia berkata pihaknya sedang melihat untuk menurunkan kadar kematian pesakit tanpa berpeluang dirawat di hospital kepada 15 peratus.

Setakat ini, rekod kes BID tertinggi adalah 21 peratu pada minggu ke-31 penularan Covid-19 (1 hingga 7 Ogos 2021).

"Kami sedang mencari jalan bagaimana untuk mengenal pasti kumpulan ini dan membawa mereka ke hospital dengan segera sebelum keadaan mereka memburuk," katanya.

Satu lagi sasaran, yang disifatkannya sebagai sasaran yang jelas, adalah menurunkan bilangan kes baru harian.

Bagaimanapun, katanya, sukar untuk menyatakan unjuran pada masa ini memandangkan KKM berdepan beberapa pemboleh ubah yang di luar kawalan mereka.

"Tentunya kita sasarkan kes menurun. Tetapi dengan varian baru, kami tidak pasti berapa banyak yang akan (dapat) diturunkan.

"(Sebab itu) kita akan fokus kepada hasil (berkaitan) Covid-19. Contohnya ada negara masih lagi melaporkan angka kes yang tinggi, tapi dari segi hasilnya, bilangan kes ICU dan kematian sangat berkurang. Jadi saya ingin fokus kepada perkara itu."

Berikut adalah senarai KPI berkaitan Covid-19 yang lain yang ingin dicapai Khairy dan pasukannya paling lewat 8 Disember ini.

Vaksinasi

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Khairy berkata dia menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa di Malaysia telah divaksin.

Sasaran lain adalah untuk memberi vaksin kepda seramai mungkin golongan berusia 12 hingga 17 tahun. Ia dijangka akan dimulakan minggu depan di Sarawak.

"Ini supaya awal tahun persekolahan bermula nanti, remaja-remaja kita sudah lengkap menerima vaksin mereka," katanya.

KKM juga akan merangka dasar berkenaan dos ketiga, termasuk rancangan pelaksanannya dan keputusan sama ada menggunakan vaksin yang berbeza daripada dos awal selamat atau tidak.

Menambah baik kemudahan kesihatan

Khairy berkata KKM akan memastikan tiada lagi negeri yang akan berdepan kekurangan katil ICU.

Dia juga berjanji semua kemudahan kesihatan akan memiliki bekalan silinder oksigen yang cukup untuk merawat kes Covid-19, dan KKM akan memastikan tiada kemudahan yang akan berdepan kekurangan bekalan.

Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) maya juga akan diwujudkan di lima negeri - Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Perak.

Ini agar pesakit tidak perlu lagi pergi sendiri ke CAC, menyusuli langkah KKM di Lembah Klang.

Dasar baru untuk fasa endemik

Menurut Khairy, satu prosedur operasi standard (SOP) baru yang lebih ringkas dan mudah difahami akan dikeluarkan ketika Malaysia beralih ke fasa endemik yang dijangka pada bulan depan.

Dia sedang bekerjasama dengan menteri yang mengendalikan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk merangka garis panduan baru.

"Jadi SOP yang lebih ringkas dan jelas akan dirangka dalam masa 100 hari khususnya untuk fasa endemik, dan akan menggantikan begitu banyak halaman di bawah MKN pada masa ini, yang kami rasa terlalu rumit dan sukar difahami," katanya.

Kerajaan juga akan meningkatkan usaha komunikasi dengan orang ramai berhubung pematuhan langkah kesihatan awam.

Satu dasar ujian dan pengesanan kontak juga sedang dirangka dan akan diumumkan sebelum tempoh 100 hari tersebut, katanya lagi.

Dasar baru itu berhubung syarat bagi ujian Covid-19 ketika fasa endemik, termasuk sekerap mana seseorang itu perlu disaring.

"Maksudnya dalam fasa endemik, akan jelas berapa kali nak buat ujian, dalam keadaa apa kena buat ujian, ujian apa yang perlu dibuat, kekerapan dan ke mana kita perlu pergi untuk dapatkan ujian.

"Dan jika didapati positif, apakah proses untuk pengesanan kontak dan pengasingan," katanya lagi.

Menambah baik ujian dan pengesanan kontak

Dalam usaha memudahkan akses orang ramai terhadap ujian kendiri Covid-19, KKM menyasarkan untuk meluluskan sekurang-kurangnya 40 kit ujian, selain 40 kit ujian yang sudah ada di pasaran.

Ia bagi memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai dan meningkatkan persaingan di kalangan syarikat, dengan harapan harganya diturunkan.

Khairy berkata, mereka juga akan meliberalkan penjualan kit ujian - bermakna pengguna dapat mendapatkannya di luar farmasi dan kemudahan perubatan, termasuk di kedai runcit.

"Kita juga akan membekalkan kit ujian secara percuma, atau memberi subsidi, kepada kumpulan B40. Kita akan buat pengumuman dari masa ke masa."

Katanya lagi, lebih banyak fungsi akan ditambah dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan mereka yang mengalami gejala "long Covid" melaporkan keadaan mereka, selain menambah baik pengesanan kontak.

"Pengesanan kontak akan ditambah baik secara drastik dalam 100 hari pertama. Akan ada pengesanan kontak secara automatik untuk memastikan kita selamat apabila memasuki fasa endemik."

Ketelusan data

Sebagai sebahagian daripada janjinya untuk lebih telus berhubung maklumat berkenaan wabak, Khairy berkata dia akan mengedakan sesi libat urus secara lebih kerap dengan media.

Ia selain data granular Covid-19 yang dimuat naik di laman github bermula minggu depan.

Dia juga telah mewujudkan alamat emel khas untuk kakitangan barisan depan KKM yang mahu membuat laporan berkenaan isu yang dihadapi di tempat kerja.

Katanya, emel tersebut - [email protected] - adalah untuk memastikan kakitangan KKM mempunyai saluran komunikasi yang terbuka dengannya, dan dia juga akan menerima aduan yang dibuat secara tanpa nama.

Isu-isu lain

Dalam senarai KPI, Khairy juga menjanjikan beberapa lagi perkara. Antaranya KKM akan mengumumkan keputusan ujian klinikal Ivermectin.

Untuk rekod, Ivermectin adalah ubat yang menjadi kontroversi di Malaysia mutakhir ini, dengan beberapa pihak mendakwa ia mujarab dalam merawat pesakit Covid-19 dan menggesa KKM menggunakannya dalam rawatan.

Kata Khairy lagi, dia juga menyasarkan untuk merangka penyelesaian terbaik bagi isu berkaitan doktor kontrak. Dia berkata ada beberapa pendekatan sedang dibuat tetapi enggan mengulasnya dengan lebih lanjut, memandangkan perbincangan masih berjalan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perbendaharaan.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS