Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Kelang Datuk Zakaria Md Deros yakin masyarakat dan ahli akar umbi parti itu masih menyokongnya walaupun dilanda kontroversi berhubung pembinaan kediamannya ala istana tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Berikutan itu, beliau akan mengadakan Hari Terbuka Hari Raya pada 20 November ini di Kampung Idaman, Pandamaran dan menjemput orang ramai termasuk media datang untuk melihat sendiri sokongan kepadanya daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya harap anda semua datang Open House Abang. Masa itu anda tahu sama ada masyarakat sokong Abang atau tidak, OK," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Klang, dalam sidang akhbar di Bangunan Umno Klang hari ini.

Berbeza dengan sidang media Selasa lalu, apabila beliau menitiskan air mata, Zakaria, yang berbaju Melayu warna kuning emas serta lengkap bersongkok, mengendalikan sidang akhbar dalam mood yang ceria dan yakin.

Menurut laporan Bernama, beliau berkatga, walaupun seorang wakil rakyat, beliau tidak suka menunjuk-nunjuk gelaran "YB" dan "Datuk" yang disandangnya.

Oleh itu, beliau yakin masyarakat masih menyokong beliau walaupun dilanda kontroversi tersebut, kerana beliau mendekati masyarakat tanpa protokol, dengan hanya dipanggil sebagai "Abang Z"

Zakaria terlibat dalam kontroversi apabila membina rumah ala istana di kawasan perumahan kos rendah tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT), selain pelantikan beliau, anaknya Zainuri dan menantunya Roselinda Abdul Jamil sebagai anggota MPK dipersoalkan banyak pihak.

Mengadap sultan

Zakaria yang menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu lalu telah dinasihatkan untuk melepaskan jawatan sebagai Anggota Majlis manakala kerajaan negeri Selangor memberikan tempoh sehingga 8 Nov untuk melepaskan jawatan itu secara sukarela.

"Saya tidak rasa apa yang berlaku mempunyai kesan keburukan dari segi sokongan masyarakat dan rakyat kepada saya. Sebagai wakil rakyat, saya dikenali sebagai "Abang Z" dan tidak pernah meletakkan 'title' saya sebagai YB atau Datuk.

"Saya mendekatkan diri dengan masyarakat sebagai Abang Z. Dalam isu ini nampaknya masyarakat terus memberikan sokongan lebih padu pada saya," katanya.

Zakaria akan melepaskan jawatannya sebagai ahli MPK selepas mengumumkan penarikan diri daripada menjadi calon ahli MPK lewat malam tadi.

Beliau berkata, surat penarikan diri akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Selangor dan Yang Dipertua MPK, hari ini.

Zakaria berkata sejak berkhidmat sebagai Ahli Majlis dari 1979, beliau sentiasa didatangi masyarakat tanpa mengira kaum yang memerlukan pertolongan terutama masalah yang berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan.

Katanya ketiadaan beliau kelak sebagai Anggota Majlis mungkin akan menyebabkan masyarakat terasa "kehilangan" dan "kesunyian".

Sokongan rakyat

"Saya sentiasa didatangi masyarakat bukan sahaja Melayu, malah Cina yang saya hulurkan bantuan berkaitan dengan majlis. Mungkin dengan ketiadaan saya mungkin mereka juga rasa kehilangan dan kesunyian oleh kerana saya memang dekat dengan mereka dan banyak sediakan pertolongan," katanya.

Zakaria berkata beliau menarik diri secara sukarela dan bukan kerana tekanan daripada sesiapa.

Ditanya mengapa pengumuman itu dilakukan selepas dinasihatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Zakaria hanya menjawab "No, no, comment. Bye, bye, bye" dikuti gelak ketawa hadirin.

Mengenai calon penggantinya sebagai Anggota majlis, Zakaria berkata senarai calon akan dibincangkan pada mesyuarat parti dalam masa terdekat sebelum mengemukakannya kepada Menteri Besar Selangor.

Katanya terdapat beberapa calon yang dilihat berwibawa untuk diketengahkan, tetapi beliau mungkin memerlukan masa bagi menyemak status pengganti agar tidak mempunyai rekod menyalahi undang-undnag, katanya.

Zakaria turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih terhadap kepercayaan yang diberikan serta kerjasama, nasihat dan teguran yang baik sepanjang beliau menjalankan tugas sebagai Anggota MPK.

"Saya juga mengambil kesempatan pada bulan Syawal yang mulia ini memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang penglibatan saya sebagai Ahli MPK terdapat sebarang kekasaran dalam tutur kata dan perilaku yang mungkin tidak menyenangkan beberapa pihak kerana saya juga adalah insan biasa yang tidak terlepas daripada membuat kesilapan," katanya.

Pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipengerusikan Abdullah selaku Presiden parti semalam, Zakaria diminta menarik diri daripada menjadi anggota MPK.