Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan Perhutanan nafi petempatan Orang Asli dalam HSKLU

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menjelaskan perkampungan Orang Asli di luar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bukan petempatan warisan turun-temurun.

Pengarahnya Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata semakan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengesahkan tiada rizab tanah Orang Asli di kawasan terbabit.

“Setakat hari ini, masyarakat Orang Asli diberi tanah lebih 850 ekar untuk petempatan, manakala baki dalam 100 ekar lebih lagi akan diberikan sebaik proses penyahwartaan HSKLU selesai.

“Kerajaan negeri akan menggenapkan jumlah 1,000 ekar dan melunaskan janji kepada masyarakat Orang Asli, kerajaan negeri berjaya selesaikan isu Orang Asli,” katanya seperti dilaporkan SelangorKini.

Pada 30 Ogos lalu, Kerajaan Selangor dilaporkan melakukan penyahwartaan HSKLU pada bulan Mei.

Perkara berkenaan hanya didedahkan ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian memberitahu sidang DUN kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan keseluruhan kawasan sebagaimana rancangan asal selepas mendapat bantahan komuniti.

Hee berkata keputusan itu dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-17/2021 pada 5 Mei lepas yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19 Mei.

Menurutnya, MMKN memutuskan seluas kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyah warta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Dalam pada itu, Ahmad Fadzil berkata masyarakat Orang Asli di situ dipindahkan dari Sepang lebih 20 tahun lepas bagi membolehkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan dijanjikan petempatan baharu seluas 1,000 ekar.

Selain itu katanya, dakwaan terdapat banyak kubur Orang Asli di HSKLU juga tidak tepat kerana siasatan mendapati hanya terdapat satu kubur setelah mereka berpindah ke kawasan tersebut.

“Saya faham NGO mempertahankan hak Orang Asli tetapi adakah kita tidak mahu melihat Orang Asli mengikuti arus pembangunan?

"Langkah diambil kerajaan telah banyak bawa arus pembangunan kepada Orang Asli,” katanya.

Katanya, HSKLU yang sering terbakar mengalami kemerosotan nilai kepelbagaian flora dan fauna dan diganti dengan tiga kawasan hutan simpan yang lebih baik di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Lihat Komen
ADS