mk-logo
Berita
Kenyataan Wan Junaidi bersifat cakap dengar, kata MP dan peguam
Diterbitkan:  Sep 7, 2021 10:19 PM
Dikemaskini: 2:21 PM

Seorang ahli parlimen dan seorang lagi peguam kanan menganggap kenyataan mengenai tiada keperluan undi percaya di parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak boleh diterima.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata kenyataan berkenaan bersifat cakap dengar (hearsay), iaitu disampaikan pihak kedua dan bukannya didengar sendiri oleh Wan Junaidi.

Jika dalam mahkamah, keterangan hearsay tidak boleh diterima.

"Kesahihan kenyataaan Wan Junaidi itu dipertikaikan kerana dia tidak mendengar sendiri apa yang dikatakan oleh Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya hanya mendengar daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob," katanya dalam kenyataan hari ini.

Siang tadi Wan Junaidi menyatakan Agong berkenan agar undi percaya ke atas Ismail Sabri tidak dilaksanakan dan ia dimaklumkan perdana menteri dalam mesyuarat kabinet beberapa hari lalu. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin pula berkata Agong tak menitahkan agar undi percaya dibuat sebelum ini, bukannya selepas pelantikan.

Zahidi berkata dia tidak mahu wujudnya duluan apabila pelantikan yang dibuat Agong perlu disahkan di Parlimen.

"Kita perlukan persetujuan Agong untuk melakukannya, bukan apa yang pembangkang mahu," kata Zahidi.

Kata Hassan, Wan Junaidi menderima maklumat berkenaan isu tersebut daripada Ismail Sabri ketika ahli parlimen Bera itu merupakan pihak yang memiliki konflik kepentingan secara langsung dalam hal berkenaan.

Hassan yang juga seorang peguam menegaskan, kenyataan Agong mengenai perlunya undi percaya secepat mungkin itu dibuat dalam kenyataan rasmi melalui Istana Negara pada 18 Ogos lalu.

Anggap masih sah, terpakai

Justeru katanya dalam amalan undang-undang pentadbiran, terutama yang melibatkan kedudukan Agong, jika ada titah atau dekri baru dalam hal yang sama, ia hendaklah dibuat secara bertulis dan dimaklumkan kepada umum melalui kenyataan media rasmi.

"Bukannya melalui perdana menteri ataupun menteri," katanya.

Jika dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, tambah Hassan, tidak ada sepatah perkataan pun yang menyatakan bahawa keabsahan perdana menteri boleh ditentukan secara akuan berkanun (SD).

Sementara itu peguam Haniff Khatri Abdulla juga sependapat dengan Hassan. Malah dia beranggapan kenyataan dibuat Wan Junaidi serta Zahidi pelik dan mencurigakan.

"Kenapakah Ismail Sabri sendiri tidak keluarkan kenyataan itu?

"Kenapakah tidak ada mana-mana kenyataan rasmi dari Istana Negara dikeluarkan berkaitan perkara itu walhal isu usul undi percaya disentuh dengan jelas dalam titah Agong melalui kenyataan media bertarikh 18 Ogos," katanya.

Ismail Sabri dan kerajaan juga kata Haniff Khatri sepatutnya menunjukkan adat yang sopan semasa menguruskan titah Agong, bukannya secara semberono.

"Dengan secara objektif mematuhi adat, konvensyen dan semangat Perlembagaan Persekutuan, selagi belum ada mana-mana kenyataan rasmi dari Istana Negara berkaitan perkara ini, titah baginda berhubung keperluan Ismail Sabri sesegera mungkin membawa usul undi percaya masih sah, terpakai dan terikat," katanya.

Lihat Komen
ADS