Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekatan polis sambut ketibaan NGO di bangunan SUK Selangor

Wakil daripada Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) pada mulanya dihalang daripada masuk ke pejabat kerajaan Selangor hari ini selepas polis membuat sekatan di jalan utama menuju bangunan itu.

Wakil gabungan dan wartawan yang membuat liputan turut disekat polis yang menutup bahagian dekat Persiaran Sultan atas sebab keselamatan.

Polis akhirnya membenarkan lima wakil PHSKLU untuk masuk dan menghantar memorandum.

Memorandum tersebut untuk mendesak kerajaan Selangor segera membatalkan penyahwartaan separuh daripada Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Ia diterima oleh ketua setiausaha sulit menteri besar, Mohd Hidayat Mohd Sauffi di pintu pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam., Selangor.

"Dia (Hidayat) memaklumkan akan membawa isu itu kepada perhatian Menteri Besar Amirudin Shari," kata jurucakap PHSKLU Suresh Kumar ketika sidang media selepas penyerahan memorandum.

Gabungan itu menyifatkan kenyataan Amirudin bahawa dia akan menangguhkan penyahwartaan sebagai tidak bermakna dan mendesak pembatalan secara rasmi dibuat.

"Rakyat cukup bijak untuk memahami apakah maksud kata-kata politik ini.

"Tangguh tak bermakna apa-apa; hutan simpan sudah dinyahwarta, jadi apa maksud dia dengan 'tangguh'?

"Saya harap mereka akan membatalkannya," kata Suresh lagi.

PHSKLU juga berpandangan kehadiran polis hari ini sebagai berlebihan dan kecewa dengan cara kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengendalikan situasi itu.

"Kami juga membangkitkan cara mereka mengendalikan penyerahan memorandum hari ini kepada ketua setiausaha sulit (Hidayat).

"Dia beritahu kami ada kebimbangan terhadap keselamatan, dan keputusan (untuk menutup laluan utama) dibuat selepas syor daripada polis.

"Tetapi polis beritahu kami sekatan dibuat setelah mereka dinasihatkan oleh menteri besar," dakwa Suresh yang menyifatkan penyerahan memorandum adalah amalan demokrasi biasa di Malaysia dan tidak wajar dikendalikan seperti itu.

Selain daripada desakan utama iatu pembatalan penyahwartaan, PHSKLU yang merangkumi 15 NGO turut menggesa kerajaan Selangor menghentikan sebarang penebangan hutan.

Menurut memondarum PHSKLU, kerajaan Selangor sepatutnya mencari jalan untuk memulihara semua hutan di negeri itu, selaras dengan Usul No 26 yang diluluskan ketika sidang DUN November tahun lalu.

Dalam pada itu, wakil Orang Asli dalam PHSKLU, Shaq Koyok berkata sudah menjadi tugas kerajaan negeri untuk melindungi dan memlihara hutan di hidupan liar di Selangor.

"Tetapi mereka memusnahkan hutan dan menafikan hak Orang Asli dalam kawasan hutan itu," katanya.

Dia berkata masyarakat Orang Asli sudah tinggal di dalam hutan itu begitu lama dan kini ada sekurang-kurangnya lima perkampungan Orang Asli di sana.

"Rakyat yang mengundi anda untuk menjadi kerajaan negeri.

"Jadi, kerajaan perlu mendengar suara rakyat ketika kami meminta anda menghentikan nyah warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara sejak sesi town hall tahun lalu.

"Apa yang kita lihat sekarang adalah kerajaan tidak dengar suara rakyat, tetapi hanya pihak pemaju. Bukan pemaju yang mengundi anda," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS