Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor akan wartakan semula hutan simpan, pelan pembangunan dibatal
Diterbitkan:  Sep 8, 2021 8:06 PM
Dikemaskini: Sep 9, 2021 2:05 AM

Susulan kritikan pelbagai pihak, kerajaan Selangor menghentikan cadangan pelan pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Dalam satu kenyataan selepas pertemuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor hari ini, Menteri Besar Amirudin Shari mengatakan bahagian hutan yang sudah dinyahwarta akan diwartakan semula.

"Kerajaan negeri akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri Selangor akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara," katanya.

Daripada kawasan seluas 536.7 hektar yang sudah habis diwartakan, Amirudin mengatakan mereka telah memutuskan untuk mengekalkan 42.1 hektar sebagai tanah yang diberikan sebagai pampasan untuk Kampung Orang Asli Busut Baru.

"Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyah warta untuk tujuan pertimbangan jajaran East Coast Rail Link (ECRL)," katanya.

Amirudin tidak menyatakan dengan tepat luas hutan yang akan diwartakan semula sebagai hutan simpan kekal.

Pada tahun 1993, penduduk kampung Temuan diminta untuk meninggalkan rumah mereka di Kampung Busut, Sepang untuk memberi laluan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Mereka dipindahkan sejauh 40km ke Kampung Busut Baru di Kuala Langat dan dijanjikan tanah seluas 404.7 hektar tetapi belum diberi jumlah penuh yang dijanjikan hingga hari ini.

Pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd memberitahu Malaysiakini pada Februari 2020 bahawa jajaran projek itu akan melintasi 21.4 hektar Kuala Langat (Utara).

Tidak dapat dipastikan sama ada jajaran itu sudah diubah selepas itu atau tidak.

Walaupun ada perubahan rancangan, Amirudin sebelum ini mengumumkan bahawa rancangan awal kerajaan negeri untuk mengganti kawasan yang telah dilupuskan dengan cadangan hutan baru tetap ada.

Empat hutan simpan baru adalah - Hutan Simpan Buloh Telor West (308.62ha), Hutan Simpan Buloh Telor East (57.18ha), Hutan Simpan Sungai Panjang (149.96ha) dan Hutan Simpan Bukit Broga (63.88ha).

Warta ini telah diterbitkan secara rasmi.

"Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa segala proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.

"Sebagai sebuah kerajaan yang berteras prinsip akauntabiliti, kerajaan negeri akan menulis surat kepada YB Speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini," kata Amirudin.

Pada bulan Mei, exco negari memutuskan untuk menyah warta 536.7 hektar (54 peratus) atau bersamaan keluasan kira-kira 751 padang bola, hutan simpan di kawasan itu.

Daripada jumlah itu, syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd direncana untuk diberi 494.7 hektar untuk projek pembangunan campuran.

Keputusan itu hanya didedahkan tiga bulan kemudian pada 30 Ogos semasa sesi dewan perundangan Selangor berikutan pertanyaan dari Adun.

Pendedahan berhubung perkara itu mengundang kritikan dari kumpulan alam sekitar, organisasi masyarakat sivil, netizen, wakil rakyat dan juga kementerian persekutuan.

Penyahwartaan itu kontroversial kerana semua Adun Selangor sebelumnya secara suara sebulat suara tidak bersetuju.

Amirudin kemudian dipanggil oleh partinya (PKR) untuk memberikan penjelasan mengenai tindakan tersebut.

Lihat Komen
ADS