Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ada kekurangan dalam siasatan kes rasuah Noor Ehsanuddin'
Diterbitkan:  Sep 8, 2021 10:40 PM
Dikemaskini: 2:40 PM

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkata terdapat kekurangan dalam siasatan kes rasuah bekas ahli lembaga pengarah Felda, Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.

Badan pemantau SPRM itu berkata demikian sebagai respons kepada penarikan 29 pertuduhan terhadap Noor Ehsanuddin.

Pengerusinya, Abu Zahar Ujang dalam satu kenyataan berkata dia dan enam lagi ahli lembaga itu memandang serius penarikan balik kes-kes semasa perbicaraan sedang berlangsung.

"LPPR mengambil maklum bahawa penarikan balik kes berkenaan adalah berasas fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan.

"Namun begitu, LPPR berpandangan terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh," katanya.

Abu Zahar juga berkata pengurusan SPRM hari ini terpaksa menanggung kesan daripada tindakan ke atas kes yang diambil atas "kepentingan politik".

"Oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus serta tidak profesional dan lebih menjurus kepada kepentingan politik telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya," katanya.

Tambah Abu Zahar, dia dan kesemua ahli jawatankuasa LPPR SPRM tidak mahu SPRM dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

"Segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu, kita tidak mahu terus berulang.

"Prinsip semak dan imbang yang diamalkan sekarang hendaklah dilaksanakan dengan bijak, telus dan bertanggungjawab serta penuh integriti," tegasnya.

Noor Ehsanuddin didakwa atas 29 tuduhan rasuah pada tahun 2019, tetapi dibebaskan dari semua tuduhan itu selepas ia ditarik balik pada 1 September.

Empat belas daripada tuduhan tersebut adalah atas dakwaan menerima suapan berjumlah RM23,540.68 sebagai bayaran ansuran untuk sebuah kereta BMW 3 Series dari syarikat percetakan Karya Hidayah Sdn Bhd pada tahun 2014 dan 2015.

Sepuluh dakwaan lain termasuk menerima rasuah RM50,000 dan sebidang tanah dari syarikat yang sama pada 2013 dan 2014.

SPRM mengatakan keputusan menarik balik tuduhan itu berdasarkan pernyataan pembelaan Ehsanuddin dan keterangan saksi utama, yang menunjukkan bahawa wang itu sebenarnya merupakan wang pendahuluan yang sejak itu sudah dibayar semula.

Malaysiakini sudah menghubungi bekas ketua pesuruhjaya SPRM Mohamad Shukri Abdull untuk mendapatkan ulasan.

Lihat Komen
ADS