Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bayi wanita Malaysia lahir di luar negara berhak dapat kewarganegaraan'

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa bayi yang lahir di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warga secara automatik berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Hakim Akhtar Tahir hari ini membenarkan saman yang menuntut pengisytiharan bahawa anak wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing secara automatik dapat memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Saman itu yang difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Disember tahun lalu.

Ketika dihubungi, peguam Joshua Andran, yang mewakli enam warga Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) itu, mengesahkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Semasa prosiding dalam talian awal hari ini, Akhtar memutuskan bahawa wanita warga Malaysia (yang berkahwin dengan lelaki asing) mempunyai hak yang sama dengan lelaki waega Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing, untuk memberikan kewarganegaraan melalui operasi undang-undang ke atas anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Hakim itu berkata, ini diselaras dengan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Artikel 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1) (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Akhtar memutuskan bahwa semua udang-undang berkenaan melarang diskriminasi berdasarkan jantina dalam hal pemberian kewarganegaraan.

Dia menekankan bahawa mahkamah diberi kuasa untuk mentafsirkan undang-undang untuk menegakkan semangat Perlembagaan Persekutuan dan memastikan keadilan.

Katanya, saman itu tidak bertujuan untuk bertujuan mengubah dasar tetapi mencari jalan untuk menerapkan undang-undang yang ada dengan cara menyelesaikan rasa tidak puas hati plaintif.

"Rasa tidak puas hati plaintif adalah besar... diskriminasi adalah jelas," katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, ketika dihubungi Bernama, berkata Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

“Hakim itu membuat keputusan selepas meneliti beberapa Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau turut memerintahkan semua pihak berkuasa yang berkaitan agar mengeluarkan dokumen seperti kad pengenalan kepada bayi terbabit,” katanya sambil menambah hakim itu tidak membuat perintah mengenai kos memandangkan kes ini membabitkan isu kepentingan awam.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu pada prosiding dalam talian selepas membenarkan saman pemula Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing bagi membolehkan bayi mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Dis tahun lepas, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah JPN sebagai defendan. Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin.

Presiden Family Frontiers Suri Kempe pula berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai bukan sahaja amat melegakan ibu yang terjejas dalam kes ini tetapi juga semua wanita Malaysia dalam situasi sama.

"Keputusan ini mengiktiraf kesaksamaan wanita Malaysia dan merupakan satu kemajuan ke arah Malaysia yang lebih egalitarian serta adil,” menurutnya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS