Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kerakyatan bayi: Menteri suarakan rasa bersimpati pada ibu

Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berjanji untuk bersuara dalam mesyuarat kabinet selepas kerajaan memutuskan untuk merayu keputusan mahkamah berhubung status bayi yang dilahirkan warga Malaysia di luar negara.

"Saya bersimpati dengan mereka (enam ibu warga Malaysia yang mengemukakan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi)," kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

"Perkara ini bukan di bawah kementerian saya, sebaliknya bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Jika KDN membangkitkan perkara itu dalam kabinet, saya pasti akan mengemukakan pandangan saya," kata Wan Junaidi sambil mendakwa bahawa dia tidak diberitahu secara rasmi mengenai perkara itu.

Jelasnya, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan mungkin merupakan kaedah terbaik untuk menamatkan dilema ibu yang melahirkan anak mereka di luar negara.

"Keputusan mahkamah tinggi tertakluk kepada rayuan kerana kita mempunyai dua peringkat untuk membuat rayuan.

"Sekiranya perkara itu tidak sesuai dengan yang anda fikirkan, maka satu-satunya jalan keluar adalah dengan mengemukakan petisyen kepada kerajaan agar pindaan pada perlembagaan memberikan hak yang sama kepada ibu-ibu," kata Wan Junaidi.

Pada 9 Sept lalu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan anak-anak dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik akan diberikan kewarganegaraan Malaysia.

Wan Junaidi bersama dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menyambut baik keputusan itu.

Namun, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Pada 18 Dis 2020, keenam-enam ibu terbabit memfailkan tindakan undang-undang tersebut dengan meminta pengisytiharan bahawa wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing secara automatik dapat memperoleh kewarganegaraan untuk anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Tindakan itu diambil setelah kerajaan menolak untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak terbabit.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS