Polis telah menyoalsiasat seorang individu berhubung penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa beratus-ratus orang Melayu akan dibaptiskan di sebuah geraja di Ipoh, Perak semalam.

Lebih ramai lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan kes tersebut, kata Ketua Polis Perak, Datuk Abdul Aziz Bulat hari ini.

Mereka termasuk Mufti Perak Perak Mufti Harussani Zakaria (foto), tetapi Abdul Aziz menjelaskan bahawa beliau bukanlah suspek kes tersebut.

Sebaliknya, kata Abdul Aziz, nama Mufti Perak itu antara yang disebut dalam SMS itu yang disebarkan sejak Khamis lalu.

SMS yang berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama itu hampir mencetuskan satu insiden perkauman Ahad lalu.

SMS itu mendakwa, sekumpulan umat Islam akan bertukar agama untuk menganut agama Kristian di sebuah gereja pagi ini.

Datuk Azhar Mansor

Upacara baptis itu didakwa akan diketuai oleh Datuk Azhar Mansor, rakyat Malaysia berjaya belayar secara solo mengelilingi dunia.

Berikutan itu, sekumpulan umat Islam termasuk wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah berkumpul di perkarangan gereja tersebut untuk mendapat kepastiannya.

Mengikut undang-undang, umat Islam dilarang menukar agama kepada agama lain.

Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku ialah ia merupakan majlis pembaptisan kira-kira 110 kanak-kanak keturunan India.

Bagaimanapun, mereka yang berkumpul di situ enggan beredar kerana mahu menunggu sehingga majlis di gereja itu selesai.

Laporan polis

Polis menghantar sepasukan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk mengawasi keadaan, tetapi tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Menurut Abdul Aziz, kes tersebut disiasat mengikut Akta Hasutan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, polis akan memanggil beberapa orang yang disebut dalam SMS tersebut serta daripada nombor telefon yang diperolehi pihaknya.

Katanya, polis juga sedang berusaha untuk mengesan punca SMS tersebut.

Menurutnya, tiga laporan polis telah dibuat semalam berhubung kes tersebut - oleh pihak polis, Pemuda Umno Perak dan gereja terbabit.