story image
mk-logo
Berita
IC untuk penduduk Borneo tanpa dokumen: KDN minta data KKM, Mosti

PARLIMEN | Kementerian Dalam Negeri telah meminta Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk berkongsi data yang dapat membantu mempercepat usaha memberi kewarganegaraan kepada penduduk asli Borneo tanpa dokumen pengenalan diri sah.

Ini dapat dilakukan berdasarkan program vaksinasi di Sarawak, terutama yang menggunakan pendekatan vaksin dahulu daftar kemudian.

"Kita alu-alukan kementerian-kementerian lain beri data, KKM atau Mosti untuk kita ambilkan tindakan," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said (gambar, judul) kepada Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan tambahan daripada Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pada sesi soalan lisan.

Lukanisman bertanya apakah kerajaan akan menggunakan data yang dikumpulkan daripada program vaksin Sarawak, yang memberi vaksin dahulu dan daftar kemudian untuk warga negara tanpa dokumen, untuk mengesan mereka dan memberikan mereka kewarganegaraan.

"Terdapat dakwaan masih ramai lagi, Orang Asal, Orang Penan di Sarawak dan Sabah tidak ada pengenalan diri," katanya.

Selain meminta data daripada kementerian lain, Ismail berkata terdapat jawatankuasa khas di Sabah dan Sarawak yang sedang berusaha memberikan dokumen pengenalan kepada penduduk tanpa kewarganegaraan di Borneo.

Katanya lagi, Jabatan Pendaftaran Negara memang mempunyai pasukan yang masuk ke kawasan pendalaman untuk mendaftarkan kelahiran dan kewarganegaraan melalui program jangkauan Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).

ADS
Paling Popular
Terkini
ADS