mk-logo
Berita
PSB bimbang MOU antara PH, kerajaan kekal remehkan MA63
Diterbitkan:  Sep 15, 2021 9:19 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Parti Sarawak Bersatu (PSB) meyatakan rasa ragu terhadap hak yang dijanjikan untuk negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dikembalikan selepas Pakatan Harapan (PH) serta Putrajaya menandatangani memorandum persefahaman 13 Sept lalu.

Presiden PSB, Wong Soon Koh, bahkan berasa bimbang MA63 itu akan menjadi sekadar perkara sampingan dalam kompromi di antara kedua-dua pihak.

Penduduk Sarawak pula kata Wong diambil berada dalam bahaya kerana diambil mudah oleh kedua-dua pihak.

Berdasarkan butiran yang terkandung dalam dokumen persefahaman setebal 17 halaman itu, Wong berpendapat, perkara yang sangat penting untuk Borneo hanya disebut dalam satu perenggan.

Menurut paparan berkenaan dokumen itu di laman sesawang Parlimen Malaysia, perkara itu disebut pada butiran No 5 yang menyatakan: Perjanjian Malaysia MA63: Memperkukuh usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengannya".

"Perkara itu tidak lebih daripada sekadar retorik dan bukan 'Wilayah Sarawak' yang dijanjikan perdana menteri kelapan.

"Memanglah, jika kita tidak tahu apa isi kandungan (memorandum itu), bagaimana PSB boleh menandatanganinya apa lagi bersetuju dengan mereka?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wong, seperti dinyatakan dengan tepat oleh Ketua Pemuda Warisan, Mohd Azis Jamman, parti pembangkang di luar PH tidak boleh dijadikan 'cap getah' dalam memorandum persefahaman tersebut.

"Presiden PSB juga bukan sekadar 'cap getah' atau tukang angguk," katanya.

Tidak dipelawa berbincang 

Untuk rekod PSB adalah parti pembangkang berpangkalan di Sarawak yang mempunyai dua anggota parlimen iaitu Baru Bian (Selangau) dan Masir Kujat (Sri Aman).

Kerajaan dan PH menandatangani memorandum persefahaman pada Isnin lalu yang memberikan jaminan kestabilan kepada kabinet Ismail Sabri Yaakob selepas politik negara bergolak sejak Langkah Sheraton.

Ia turut membawa tujuh janji transformasi pentadbiran termasuk penggubalan akta antilompat parti serta mengehadkan tempoh seseorang menjadi perdana menteri.

Memorandum tersebut akan terpakai sehinggalah parlimen dibubarkan untuk membuka jalan kepada pelaksanaan pilihan raya umum ke-15.

Kata Wong tanpa mendapat maklumat jelas berhubung memorandum itu PSB tidak boleh membuat keputusan yang betul.

"Ada hal-hal penting kepada negeri Borneo yang tidak ada dalam pertimbangan orang di Malaysia Barat," katanya.

Justeru kata Wong dia menegaskan bahawa PSB bukan sebahagian daripada pihak yang menandatangani memorandum tersebut, atau dijemput untuk membincangkannya pada peringkat awal.

"Mengenai kedudukan PSB pada rang undang-undang yang akan datang (di Dewan Rakyat), kami akan mengekalkan sikap terbuka dan seperti matlamat kami, PSB akan menyokong sebarang rang undang-undang yang memberi manfaat kepada rakyat dan menyuburkan demokrasi, ketelusan dan kesaksamaan yang lebih besar di negara ini," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS