Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keuntungan bersih Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) melonjak 346 peratus kepada RM7.87 bilion pada tahun kewangan berakhir 31, Ogos 2021 daripada RM1.75 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pendapatannya untuk tahun ini juga meningkat 127 peratus kepada RM16.4 bilion daripada RM7.24 bilion pada tahun kewangan 2020.

Top Glove dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata prestasi baik dicatatkan itu adalah disebabkan oleh permintaan sarung tangan yang kukuh serta kenaikan purata harga jualan (ASP) yang rata didorong oleh pandemik COVID-19 ketika ini.

Kedudukan tunai bersih kumpulan kekal stabil pada RM2.05 bilion pada 31 Ogos, 2021.

Pada suku keempat tahun kewangan 2021, keuntungan bersih Top Glove merosot kepada RM607.95 juta berbanding RM1.18 bilion tahun ke tahun manakala pendapatan turun kepada RM2.12 bilion daripada RM3.11 bilion.

Pembuat sarung tangan itu berkata prestasi suku keempatnya lebih rendah berikutan normalisasi permintaan susulan pelaksanaan vaksin besar-besaran pada skala global, ia menyebabkan jumlah jualan dan ASP lebih rendah, tidak dipadankan dengan penurunan harga bahan mentah.

Ia juga dipengaruhi oleh tindakan penguatkuasaan Jabatan Kastam dan Perlindungan Amerika Syarikat (CBP AS) yang menjejaskan volum jualan dan keuntungan, kata Top Glove.

Walaupun kadar vaksinasi yang dipercepatkan telah menaikkan permintaan sarung tangan dan penurunan ASP, Top Glove kekal optimis mengenai prospek industri.

"Kami yakin permintaan sarung tangan sebagai barangan penting dalam sektor penjagaan kesihatan akan meneruskan trend kenaikannya terutamanya dengan kemunculan varian baharu," kata Pengarah Urusan Datuk Lee Kim Meow dalam satu kenyataan yang berasingan.

Top Glove menjangka jualan operasinya di Malaysia akan meningkat sebanyak 15 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan berikutan pengubahsuaian yang dilakukan CBP AS.

Operasi Top Glove di Malaysia telah dibenarkan untuk mengeksport dan menjual sarung tangan ke Amerika Syarikat berkuat kuasa pada 10 Sept, 2021, menunjukkan bahawa syarikat itu telah menyelesaikan petunjuk buruh paksa yang dikenal pasti berlaku di Malaysia.

Sejajar dengan komitmen Top Glove untuk memberi ganjaran kepada kira-kira 136,000 pemegang saham awamnya, jumlah pembayaran dividen untuk suku keempat adalah 71 peratus, ia terdiri daripada pembayaran dividen khas 21 peratus ditambah 50 peratus, sesuai dengan dasar dividennya.

Pengeluar sarung tangan itu mengumumkan jumlah dividen sebanyak 5.4 sen sesaham, merangkumi dividen akhir sebanyak 3.8 sen sesaham dan dividen khas 1.6 sen sesaham dengan tarikh akhir dividen pada 1 Okt, manakala tarikh pembayaran adalah pada Oktober 15, 2021.

Jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tahun kewangan 2021 berjumlah kira-kira RM5.21 bilion atau 65.1 sen sesaham yang mewakili peningkatan 452 peratus dari dividen tahun penuh untuk tahun kewangan 2020 sebanyak 11.83 sen sesaham.

- Bernama

Lihat Komen
ADS