Rasuah: Gerak anggap PM hanya cakap kosong
Gerakan Demokrasi dan anti-Korupsi (Gerak) hari ini membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana menonjolkan imej sebagai pemimpin yang memerangi rasuah tetapi hakikatnya sepanjang tiga tahun pemerintahannya, gejala rasuah terus berleluasa.
Gerakan Demokrasi dan anti-Korupsi (Gerak) hari ini membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana menonjolkan imej sebagai pemimpin yang memerangi rasuah tetapi hakikatnya sepanjang tiga tahun pemerintahannya, gejala rasuah terus berleluasa.
"Ini bermakna laungan Abdullah untuk memerangi rasuah di awal-awal pentadbiran beliau adalah retorik semata-mata," kata Pengerusi Gerak, Mohd Ezam Mohd Nor.
Ezam berkata, Abdullah sebenarnya tidak berusaha untuk membanteras rasuah di negara ini kerana tiada langkah serius diambil untuk membanteras gejala tersebut setakat ini.
"Beliau tidak pernah berusaha memperkasakan institusi penguatkuasaan anti-rasuah seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR). Bahkan tidak ada satu akta yang membabitkan rasuah dipinda dalam tempoh tiga tahun pemerintahan beliau," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas laporan terbaru pertubuhan anti-rasuah antarabangsa, Transparensi International (TI) yang meletakkan Malaysia di tempat ke-44 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) tahun ini.
Laporan terbaru TI menunjukkan kedudukan Malaysia semakin merosot kerana pada tahun lalu Malaysia menduduki tangga ke-39.
Ezam berkata, Abdullah juga tidak mengambil langkah menggalakkan rakyat turut serta membanteras rasuah apabila beliau terus mengekialkan undang-undang yang menghalang penyebaran maklumat dan kebebasan media.
Katanya, undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Aka Rahsia Rasmi (OSA) terus dikekalkan.
"Kebebasan maklumat penting untuk menjadikan rakyat peka dan sedar terhadap bencana rasuah. Malangnya Abdullah masih tidak menghiraukan desakan mewujudkan undang-undang kebebasan maklumat di negara ini," ujarnya lagi.
Ezam juga mempersoalkan apa sudah berlaku pada kenyataan seorang menteri kabinet tidak lama dulu yang mendakwa terdapat 18 orang kenamaan yang sedang disiasat BPR.
Sehubungan itu, Gerak mendesak Abdullah membuat penjelasan mengapa sebuah pemerintahan yang dimulakan dengan janji untuk memerangi rasuah tidak melakukan sebarang tindakan konkrit untuk membasmi gejala tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin PAS, Mahfuz Omar mahu Abdullah mengisytiharkan hartanya dan aset milik keluarganya sebelum Perhimpunan Agung Umno yang bermula Isnin ini.
Katanya, jika Perdana Menteri enggan melakukannya, para perwakilan Umno perlu membangkitkan isu tersebut untuk dibincangkan dalam perhimpunan nanti.
"Jika tidak usul menyokong kepimpinan Pak Lah tidak ada gunanya. Beliau perlu membuktikan ketelusannya," katanya.

