Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bersatu terbuka soal calon timbalan speaker, tapi tegas isu integriti, kes mahkamah'
Diterbitkan:  Sep 18, 2021 3:40 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Bersatu terbuka untuk menerima cadangan bagi calon timbalan speaker Dewan Rakyat dari parti lain asalkan ia selari dengan prinsip parti, menurut ketua penerangannya Wan Saiful Wan Jan.

Menjawab kenyataan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berhubung perkara itu, Wan Saiful berkata Bersatu mempunyai prinsip tegas yang tidak boleh dikompromi.

“Pandangan Bersatu dalam isu berkait integriti dan urusan mahkamah sentiasa konsisten dan sedia diketahui umum.

“Kita boleh bersetuju dengan cadangan calon dari parti lain, tetapi runding dahulu nama calon itu kerana Bersatu ada prinsip tegas yang tidak akan kita kompromi.

“Sewajarnya perkara-perkara besar dalam kerajaan yang berbentuk gabungan pelbagai parti seperti yang kita ada hari ini haruslah mengambil kira pandangan semua ahli keluarga dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dia turut memuatnaik respons Ahmad yang enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa Bersatu bersikap berkecuali daripada menyokongnya sebagai timbalan speaker.

"Sila tanya PPBM (Bersatu), terima kasih," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, pihak kerajaan mencalonkan Ahmad sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat yang baru bagi menggantikan Azalina Othman Said.

Bagaimanapun ahli parlimen Bersatu dilaporkan menolak menyokong Ahmad untuk jawatan itu.

Ini dikatakan menyebabkan undian untuk jawatan itu ditangguhkan, dakwaan yang pertama kali dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Shli parlimen Bersatu dipetik Sinar Harian dengan syarat enggan dinamakan turut mengesahkan dakwaan itu benar, antaranya kerana calon perlu tiada kes pendakwaan di mahkamah dan terbukti integriti.

Untuk rekod, Ahmad kini sedang dibicarakan kerana mengubah wang haram dan memberikan kenyataan palsu kepada SPRM mengenai lebih RM2 juta yang diterimanya daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada tahun 2013.

Lihat Komen
ADS