Anggota UTK yang ditahan bukan pengawal PM
Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, anggota Unit Tindakan Khas, yang ditahan berikutan pembunuhan seorang wanita Mongolia sini bukan sebahagian daripada pasukan tetap keselamatan peribadi Perdana Menteri.
Mereka adalah seorang cif inspektor, seorang detektif wanita yang direman minggu lalu dan seorang konstabel yang bertugas dengan unit khas pengawal pengiring orang kenamaan yang ditahan pada hari Isnin.
Seorang jurucakap pejabat Perdana Menteri memberitahu Bernama, anggota polis itu hanyalah sebahagian daripada pasukan yang tugasnya termasuk menyediakan keselamatan secara bergilir-gilir kepada orang kenamaan Malaysia apabila melakukan lawatan ke luar negara.
Kelmarin, polis menangkap dua pegawai polis dan seorang anggota Pasukan Tindakan Khas seorang daripadanya wanita berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu yang dipercayai ada hubungan sulit dengan seorang penganalisa politik warga Malaysia.
Model sambilan berusia 28 tahun itu rakyat Mongolia yang dikenali sebagai Altantuya Shaaribuu, @ Aminah Abdullah, dipercayai dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan bomtangan.
Dia dikatakan telah menjalin hubungan sulit dengan penganalisa politik tersebut ketika lelaki berkenaan berkunjung ke Mongolia dua tahun lalu.
Hubungan sulit
Mangsa dipercayai ke rumah penganalisa tersebut di Damansara Heights, bulan lalu untuk bersemuka dengannya mengenai hubungan sulit mereka yang menghasilkan seorang anak lelaki 16 bulan..
Wanita berkenaan dipercayai telah ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan peledak C4 bagi mengelak ia dikenal pasti. C4 adalah bahan letupan berkuasa tinggi yang kerap digunakan dalam kerja-kerja meruntuhkan struktur binaan.
Manakala penganalisa politik terkemuka, yang juga ketua sebuah badan pemikir politik itu, dalam usia 40-an ditahan polis di pejabatnya kelmarin dan dibawa ke Bukit Aman untuk disoal siasat.
Dia ditahan selepas penemuan cebisan mayat wanita Mongolia itu yang berselerak berdekatan Empangan Tasik Subang di Puncak Alam, pada petang Isnin lalu.
Turut ditemui ialah kesan terbakar dipercayai akibat letupan di kawasan berhampiran empangan Tasik Subang, kira-kira 2km dari jalan utama ke Kuala Selangor.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassanmengesahkan penahanan ketiga-tiga anggota polis tersebut.