mk-logo
Berita
Khairuddin ambil maklum bantahan projek tambak laut di T'ganu
Diterbitkan:  Sep 21, 2021 8:42 AM
Dikemaskini: 12:42 AM

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali mengambil maklum bantahan terhadap cadangan projek pembangunan bercampur Sunrise City di daerahnya, yang akan melibatkan penambakan laut di kawasan seluas 768 hektar.

"Banyak bantahan oleh masyarakat awam termasuk aktivis alam sekitar terhadap projek ini. Ia memerlukan kajian mendalam kesan sosio ekonomi terhadap masyarakat. Kerajaan negeri tidak bersetuju untuk diteruskan.

"Ada banyak keberatan masyarakat, termasuk dari aktivis alam sekitar terhadap projek ini.

"Projek ini memerlukan kajian mendalam mengenai kesan sosio-ekonomi," kata Khairuddin pada hantaran di Facebooknya semalam.

Bekas menteri itu memberi maklum balas terhadap kumpulan aktivis alam sekitar Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) yang telah membuat tekanan terhadap kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS untuk menolak cadangan projek yang terletak di sepanjang Pantai Teluk Ketapang di Kuala Nerus.

Walaupun Kuasa mempersoalkan status kelulusan projek itu, Khairuddin mendakwa keputusan telah dibuat untuk tidak meneruskan pembangunan berkenaan.

"Kerajaan negeri tidak bersetuju untuk diteruskan," kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu.

Melalui hantaran di media sosial semalam, Kuasa membangkitkan hantaran terbaru daripada Greater Terengganu Development mengenai cadangan projek Sunrise City, serta beberapa gambar laman web tersebut.

Antaranya, kumpulan itu berkata projek penambakan laut akan memperburuk hakisan pantai di kawasan itu, yang juga telah menjadi masalah sejak sekian lama akibat musim tengkujuh saban tahun yang telah mempengaruhi lebih dari 244km pesisir pantai Terengganu.

Selain itu, penambakan laut akan memberi kesan terhadap penghidupan masyarakat nelayan tempatan dan pendudukdi kawasan itu.

Menurut Greater Terengganu Development, cadangan projek Sunrise City bertujuan meningkatkan ekonomi tempatan dan meredakan kesesakan di Kuala Terengganu melalui kemudahan termasuk kawasan perumahan dan komersial, hotel, pelancongan dan kawasan perindustrian.

Menurut laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang diserahkan kepada JAS pada 30 Ogos 2019, sebuah syarikat yang berpusat di Ipoh, Elcca Properties Sdn Bhd, disenaraikan pemajunya.

Komponen projek utama yang disenaraikan dalam laporan termasuk penambakan kawasan seluas 768 hektar selama lima fasa, memerlukan 62 juta meter padu pasir.

Ia juga akan melibatkan pengorekan pasir sebanyak 8.3 juta meter padu untuk pembinaan pemecah gelombang, saluran navigasi dan mengubah lembangan (paras air) sehingga kedalaman -12 meter.

Fasa pertama pada mulanya dijadualkan bermula pada suku pertama tahun lalu dan disasarkan untuk siap dalam enam tahun.

Lihat Komen
ADS