Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja kilang sarung tangan dakwa layanan buruk, syarikat Supermax nafi

Pengilang sarung tangan Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd menghadapi tuduhan memotong gaji pekerja asingnya secara tidak sah dan dakwaan keadaan kehidupan pekerja yang memudaratkan.

Dakwaan ini termasuk mengenakann denda wang tunai atau "mengurung" pekerja yang didapati telah melakukan kesalahan di barisan pemasangan produksi atau mengadu tentang keadaan hidup atau tempat kerja.

Pun begitu, syarikat menolak dengan sekeras-kerasnya dakwaan ini.

Para pekerja, yang baru saja kembali ke negara asal mereka di Nepal, bercakap dengan Malaysiakini ketika mereka berada dalam kuarantin.

Para pekerja itu berkata memilih untuk bersuara sekarang setelah meninggalkan syarikat terbabit kerana sebelum ini mereka takut akan berlaku tindak balas sekiranya melakukannya ketika sedang bekerja.

Menurut pekerja tersebut, Maxter Glove, iaitu anak syarikat Supermax Corp, didakwa mempunyai amalan memotong gaji pekerja dan menjatuhkan denda kepada pekerjanya.

"Bukan syarikat yang buruk, tetapi pengurusannya teruk," kata bekas pekerja Devraj Budhathoki kepada portal berita ini.

Dia antara 99 pekerja yang mengemukakan masalah tersebut kepada aktivis buruh Nepal, dengan harapan dapat memperbaiki keadaan kerja bagi orang Nepal lain yang masih bekerja dengan Kumpulan Supermax.

Mereka bekerja di anak syarikat Supermax yang berbeza, termasuk Maxter.

Rangkaian pertemuan dengan lima kumpulan pekerja yang pulang itu berlangsung dari 6 Ogos hingga 24 Ogos, bersama dengan aktivis hak buruh, Andy Hall.

Ketika dihubungi, Maxter Glove membantah dakwaan tersebut dan berkata ia mempunyai prosedur bagi pekerja untuk mengemukakan aduan mereka.

Devraj, yang telah bekerja di Maxter Glove selama lapan tahun sebelum kembali ke Nepal, mendakwa terdapat amalan mengambil gambar pekerja yang didapati melakukan "kesalahan" semasa bekerja. Foto yang diambil kemudian akan dijadikan bukti denda terhadap pekerja.

"Kesilapan" termasuk memecahkan kotak atau merosakkan produk ketika berada di barisan pemasangan produksi, katanya, dengan pekerja didakwa didenda RM300 ke RM500.

"Kualiti makanan juga sangat buruk. Sekiranya (kami) didenda kerana (aduan) makanan, syarikat memotong elaun (makanan) sebanyak RM220.

"Sebelum itu, satu hingga dua bulan terdahulu, kos makanan ditolak dari slip gaji (kami) tetapi kali ini, (kami) harus membayar secara tunai," katanya, ketika bercakap melalui penterjemah.

Devraj juga mendakwa sekiranya pekerja menolak kerja lebih masa, mereka akan dikenakan denda sebanyak RM250 kerana tidak bekerja lebih masa semasa syif mereka.

Bayaran denda itu didakwa dibuat secara tunai sehingga setahun lalu, tanpa resit sebagai bukti, katanya.

"Sekiranya mereka (pekerja) melakukan kesilapan seperti mereka memecahkan kadbod, mereka merosakkan sarung tangan, kehadiran mereka hanya akan (direkodkan) selama lapan jam tetapi mereka perlu bekerja 12 jam," tambah Devraj.

Dia mendakwa dia telah membayar denda sehingga RM3,600 sejak lapan tahun lalu.

Bawah Seksyen 24 (1) Akta Pekerjaan 1955, tidak ada pemotongan yang boleh dibuat oleh majikan daripada upah pekerja, selain ketetapan undang-undang ini.

Dikurung tanpa kemudahan wajar

Selain itu, Devraj mendakwa seorang pekerja yang dikenalinya telah "dikurung" di dalam bilik tanpa kemudahan yang betul - seperti tempat tidur, selimut dan kemudahan untuk menggunakan tandas dengan bebas - kerana dia telah mengadu tentang kualiti makanan yang dihidangkan kepada pekerja.

"Ini kisah lama, mungkin lima, enam, tujuh tahun yang lalu - 2014, 2015, 2013. Terdapat sebuah bilik yang biasa mereka gunakan untuk mengurung pekerja.

“Rakan saya Bimal (didakwa ditempatkan di ruang itu) sekitar tahun 2014-2016. Bimal mengeluh tentang makanan di tempat kerja bahawa ia tidak mencukupi, tidak sedap dan tidak bagus. Selepas itu, dia dikurung di dalam bilik itu selama tiga hari.

"Lepas tiga hari, syarikat itu membebaskannya dan membiarkannya bekerja," kata Devraj, sambil menjelaskan amalan itu telah dihentikan.

Seorang lagi bekas pekerja Maxter, Laxman Kumar Isar, 28, berkata kemudahan penginapan syarikat itu menimbulkan risiko kesihatan.

Laxman mendakwa gas yang dihasilkan melalui proses penyaringan kimia dalam pengeluaran kilang "masuk langsung ke dalam asrama".

“Pekerja menjadi sakit. Juga, pada waktu malam, tengah malam, setiap malam, jika mereka jatuh sakit dan jika mereka memberitahu syarikat untuk membawa mereka ke hospital, mereka (syarikat) tidak bertindak balas pada waktunya. Itu masalahnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Laxman, sistem penyaringan kimia yang terpasang di bangunan itu sudah ada selama sekitar lima hingga enam tahun.

Katanya, dia mengalami alahan, selesema biasa dan batuk, yang dia percaya ada kaitan dengan penapisan gas itu ke dalam asrama.

"Dua hingga tiga kali, saya menderita selesema dan batuk. Pada masa itu, saya mengambil ubat (yang saya beli sendiri),” kata Laxman, juga berbicara melalui penterjemah.

Dia tidak pernah melaporkan simptomnya kepada majikannya atau mencari rawatan perubatan untuk penyakitnya yang didakwanya itu, kerana dia merasa ia dapat diatasi dengan mengubati diri sendiri.

Laxman juga berkata pekerja tidak menyuarakan kebimbangan mereka kepada pasukan pengurusan Maxter Glove mengenai kesan penyaringan kimia kerana mereka tidak merasa selamat.

"(Kami) tidak mengadu (kepada) siapa pun, tidak mengadu tentang masalah ini kerana kami takut untuk mengemukakan masalah ini kepada syarikat. Kami bimbang syarikat akan memberikan denda dan semua perkara itu.

"Apa saja boleh berlaku jika (kami) mengeluh. Semua pekerja hanya diam,” tambahnya.

Tidak lama selepas wawancara dengan Malaysiakini, Laxman meninggal dunia tanpa dijangka, setelah terjatuh di rumahnya di Nepal.

Ketika dihubungi, Kumpulan Supermax menafikan tuduhan daripada bekas pekerja ini bagi pihak Maxter Glove.

"Selalu ada banyak saluran untuk pekerja menyuarakan idea, cadangan, rungutan dan masalah peribadi mereka yang lain.

"Tidak ada halangan bagi pekerja yang ingin menyuarakan kebimbangan atau keluhan mereka. Sebenarnya, kami bahkan menyediakan beberapa lokasi dengan kotak cadangan sekiranya mereka tidak mahu dikenali sebagai pemberi maklumat," kata Supermax.

Kumpulan itu menambah syarikat itu mempunyai dasar pemberi maklumat bagi pekerja untuk mengadu mengenai pekerja lain - yang mana pihaknya akan menyiasat pihak pengurusannya untuk memastikan bahawa semuanya berada dalam "perspektif yang betul".

"Syarikat ini juga memiliki jawatankuasa pekerja, selain dasar pemberi informasi, dan pekerja juga dapat membuat aduan kepada kedutaan, Kementerian Sumber Manusia, pihak berkuasa, dan polis jika ada penyalahgunaan, intimidasi, layanan buruk atau penganiayaan," katanya.

Supermax juga menafikan sistem kurungan dilaksanakan di dalam premis berkenaan.

Dari segi penginapan pula, Supermax berkata Maxter Glove telah menyediakan dua asrama yang dibina khas dengan "kemudahan moden yang sesuai dengan kelengkapan moden", sambil menambah syarikat itu patuh peruntukan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (atau dikenali sebagai Akta 446) dan garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam penyediaan asrama pekerja.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS