Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada negara iktiraf kerajaan Taliban Afghanistan
Diterbitkan:  Sep 21, 2021 12:55 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

PARLIMEN l Malaysia mengambil pendirian berhati-hati dan sedang meneliti perkembangan terkini di Afghanistan berhubung Taliban yang menguasai negara itu setelah mengambil alih Kabul pada 15 Ogos lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban termasuk negara-negara jiran sekeliling Afghanistan.

Beliau berkata terdapat beberapa pertimbangan atau faktor yang perlu diperhalusi sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung isu pengiktirafan termasuk tahap penerimaan rakyat Afghanistan sendiri terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan oleh Taliban di negara itu.

“Kedua, kita dapati bahawa kerajaan sementara yang dibentuk Taliban masih tidak bersifat inklusif dengan tidak merangkumi penyertaan golongan etnik utama lain, serta peranan wanita dan anak perempuan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata Malaysia sentiasa berpegang bahawa kerajaan di Kabul harus berdasarkan pendekatan ‘penyelesaian politik berkekalan dipimpin, dimiliki dan dikawal oleh rakyat Afghanistan’.

Sebagai negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), beliau berkata Malaysia memberi tumpuan utama kepada pendirian yang ditetapkan secara bersama melalui Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC pada 22 Ogos lepas iaitu mengukuhkan komitmen dan sokongan OIC terhadap Afghanistan.

Selain itu, mengetengahkan harapan masyarakat antarabangsa daripada kepimpinan baharu di Afghanistan dan menggariskan kepentingan untuk melindungi dan menghormati hak kehidupan, keselamatan dan maruah rakyat Afghanistan dalam mematuhi Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia juga antara pendirian OIC.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) yang meminta penjelasan sama ada Malaysia akan mengiktiraf Afghanistan di bawah pemerintahan baharu Taliban.

Menyentuh mengenai warganegara Malaysia yang berada di Afghanistan, Saifuddin berkata hanya dua orang sedang berkhidmat dengan organisasi kemanusiaan antarabangsa iaitu Pasukan Palang Merah Norway dan International Federation of Red Cross and Red Crescent (IFRC) setakat semalam.

Katanya, mereka telah pun melaporkan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi tentang keberadaan mereka di Afghanistan dalam keadaan selamat.

Beliau juga memaklumkan Malaysia berjanji untuk menghulurkan bantuan kewangan sebanyak USD 100,000 melalui Organisasi Kemanusian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Presiden Afghanistan Ashraf Ghani meninggalkan negara itu selepas Taliban memasuki ibu negara, Kabul, dan mengisytiharkan kemenangan selepas pertempuran hanya 10 hari.

- Bernama

Lihat Komen
ADS