Rafidah: Isu kritikan Dr M dijangka dibangkitkan
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata mengikut trend dan pemerhatian, perwakilan dijangka membangkitkan isu berkaitan kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan dan kepemimpinan negara dalam perhimpunan Agung Umno minggu depan.
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata mengikut trend dan pemerhatian, perwakilan dijangka membangkitkan isu berkaitan kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan dan kepemimpinan negara dalam perhimpunan Agung Umno minggu depan.
Selain itu, katanya, isu lain ialah kepentingan Melayu serta agenda Melayu yang berkait rapat dengan bahasa dan bangsa serta isu mengenai agama termasuk murtad serta kes isteri yang digantung tidak bertali.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menegaskan demikian ketika ditanya mengenai isu hangat yang akan dibangkitkan dalam perhimpunan itu dari 13 hingga 17 November ini.
Seramai 4,959 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung Umno yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 November depan.
Mereka terdiri daripada 2,554 perwakilan bagi perhimpunan agung Umno, 798 perwakilan Pemuda, 800 pewakilan Wanita dan 798 perwakilan Puteri Umno.
Ditanya sama ada beliau menjangka isu agihan AP akan dibangkitkan lagi dalam perhimpunan kali ini, Rafidah berkata bagi Wanita Umno, ia bukan lagi menjadi isu kerana beliau telahpun memberikan penjelasan kepada mereka.
Malah beliau baru-baru ini mengarahkan pegawainya "mengorek semua fail dan keluarkan kertas kerja setiap pengagihan AP terbabit, termasuk minit mesyuarat dan keputusan bukan (dibuat) oleh saya, (tetapi) oleh jawatankuasa (AP)."
Isu AP
"Terang (beri penjelasan) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) supaya dia tidur lelap dengan kepercayaan bahawa semuanya teratur. Bagi saya saksi kepada Allah SWT dan saya tidak suka serta tidak boleh menerima sesiapa saja yang mencurigai integriti saya," katanya kepada Bernama.
Rafidah berkata beliau tidak kisah jika dikritik berhubung cara pentadbirannya tetapi jangan sehingga mencemar atau menyentuh integritinya memandangkan beliau telahpun mengangkat sumpah jawatan bersaksikan al-Quran.
Mengenai perjuangan Wanita Umno setakat ini, Rafidah berkata beliau amat berpuas hati dengan peluang yang diberikan kepada wanita di negara ini yang kini menerajui pelbagai jawatan tertinggi.
Yang terbaru ialah jawatan Naib Canselor masing-masing di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya serta pelantikan tiga menteri wanita di dalam Kabinet.
Pergerakan itu, katanya, kini memohon kerajaan menaiktaraf Mahkamah Syariah supaya sama taraf dengan status Mahkamah Sivil agar hakim Mahkamah Syariah turut memperoleh gaji dan ganjaran yang sama.
Katanya, kertas kerja mengenai cadangan itu telahpun dikemukakan kepada Kabinet beberapa bulan lalu.
Mengenai perbahasan di perhimpunan agung kali ini, Rafidah meminta perwakilan mengkritik secara membina serta mengemukakan cadangan munasabah yang boleh diterima oleh barisan pemimpin.
Hujah kotor
"(Mereka) boleh bangkit isu berkaitan seseorang itu tanpa memalukan mereka... tak perlu nak memalukan seseorang itu kalau perkara yang hendak dibangkitkan itu berkepentingan umum," katanya.
Rafidah berkata sebarang cadangan yang dikemukakan haruslah bernas manakala kritikan yang dibuat perlu berdasarkan fakta hasil daripada kajian yang terperinci.
Contohnya, pada perhimpunan agung Umno tahun lalu, ada cadangan yang dikemukakan supaya setiap bahagian diberikan 40 permit kelulusan (AP) mengimport kereta setahun, yang bagaikan "nak suruh orang Melayu belajar jual AP, menggadai kontrak dan Ali Baba."
"Alahai, balik cara lama. Kita nak ajar orang Melayu buat bisnes melalui francais dengan serius, dengan kontrak. Itupun dikritik," katanya.
Rafidah turut berpesan supaya pembahas mengelak daripada carut mencarut, hujah kotor yang hanya untuk menggelikan hati serta membuat tuduhan melulu. Bagaimanapun, mereka boleh berjenaka untuk menyerikan majlis.
Pemimpin Wanita Umno sejak 1984, kecuali untuk tempoh tiga tahun (9 Oktober 1996-9 Mei 2000) apabila beliau gagal mempertahankan jawatannya pada pemilihan Umno tahun itu berkata: "Sebagai orang Islam jangan sesekali menghina orang atau menjatuhkan air muka orang.
"Kita harus ingat menjatuhkan maruah orang adalah satu perkara yang tidak dibenarkan dalam agama," katanya yang baru sahaja menyambut ulang tahunnya ke-63 pada 4 November lalu.

