mk-logo
Berita
Sultan S’gor kecewa program vaksinasi Jais kurang sambutan
Diterbitkan:  Sep 22, 2021 10:50 AM
Dikemaskini: 10:56 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila dimaklumkan program vaksinasi khas Covid-19 untuk guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah di negeri itu mendapat sambutan dingin.

Menurut laporan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin amat kecewa apabila mengetahui kurang 25 peratus menghadirkan diri.

“Lebih mendukacitakan baginda, daripada 203 orang yang hadir (itu), 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.

“Titah baginda, apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran Kafa,” petik laporan itu.

 Sesi program vaksinasi khas Covid-19 frontliner atau barisan hadapan ini sepatutnya dihadiri 873 peserta.

Ia dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di dewan syarahan dan muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, hari ini.

Baginda juga dipetik sebagai bertitah, pelbagai inisiatif dan cara telah dilakukan khususnya daripada gesaan baginda sendiri dengan kerjasama pihak Jaais dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam.

Ini termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.

“Namun apa yang berlaku amat mendukacitakan baginda.

“Baginda akan meneliti nama-nama guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak,” petik laporan itu lagi.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini