Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Syarat 51% ekuiti bumiputera pada syarikat penghantaran lama beroperasi tak adil'
Diterbitkan:  Sep 23, 2021 5:23 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Tidak adil bagi syarikat penghantaran barang yang telah beroperasi sejak bertahun lamanya untuk menjual sebahagian pegangan syarikat mereka bagi mematuhi cadangan peraturan ekuiti bumiputera 51 peratus, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Dia berkata demikian sebagai respon terhadap gesaan Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) agar kerajaan menjelaskan dasar itu - yang belum diperincikan walaupun ia perlu dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Lim berkata, perkara itu pernah dicadangkan kepadanya ketika dia menjadi menteri kewangan tetapi ditolak.

"Itu tidak selaras dengan perlembagaan dan tidak adil bagi syarikat.

"Jika pemilik syarikat penghantaran barang mengalami kerugian kerana mematuhi peraturan pemilikan 51 peratus, kerajaan perlu bertanggung jawab untuk membayarnya.

"Tidak adil bagi mereka yang telah membangun dan melabur dalam syarikat berdasarkan keadaan sedia ada tetapi ia diubah secara tiba-tiba jalan sewajarnya," katanya.

Di bawah peraturan semasa, syarikat penghantaran barang dengan lesen kastam yang didaftarkan sebelum 1976 dikecualikan dari sebarang peraturan ekuiti bumiputera.

Bagi syarikat yang berdaftar antara 1976 dan 1990, ia mesti mempertuntukkan 30 peratus ekuiti bumiputera dan syarikat yang didaftarkan selepas 1990 mesti memperuntukkan 51 peratus ekuiti bumiputera.

Syarikat yang mempunyai lesen kastam Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) pula tidak dikenakan peraturan itu.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan tahun ini mengatakan bahawa keperluan ekuiti bumiputera akan dikenakan kepada semua pemegang lesen, termasuk yang memiliki IILS.

Namun, kementerian tidak menyatakan peratusan pegangan yang ditetapkan walaupun ia perlu dilaksanakan selewat-lewatnya 31 Disember ini.

FMFF sebelum ini mengadu yang peraturan pegangan bumiputera untuk pemegang lesen kastam IILS tidak dikenakan kepada syarikat asing, justeru memberi kelebihan yang tidak adil kepada mereka.

FMFF dalam sepucuk surat telah meminta kerajaan untuk memberikan penjelasan lanjut.

"Syarikat logistik membina perniagaan mereka untuk tempoh yang lama berbanding industri lain kerana industri ini sangat kompetetif dan terpecah.

"Keputusan Kementerian Kewangan secara mengejut pada 2021 untuk semua pemegang lesen kastam mematuhi syarat ekuiti bumiputera akan membawa kesukaran yang besar kepada syarikat logistik.

"Persoalannya, dalam tempoh masa singkat dan keadaan ekonomi yang sukar, adakah pelabur bumiputera yang mahu membeli lebih 5i peratus pegangan?

"Dan, jika syarikat logistik perlu menjual majoriti pegangan kepada pelabur bumiputera, ia bermakna kerajaan memberitahu kami untuk sama ada menjual perniagaan kami atau menutupnya," kata FMFF dalam surat itu.

Dalam pada itu, Lim menggesa kerajaan untuk memberi penjelasan lanjut.

"Kegagalan untuk memastikan ini akan mendorong pelabur dan Malaysia tewas dengan daya saing dengan negara lain," katanya.

Sementara itu,Presiden Persekutuan Penghantaran Fret Malaysia Alvin Chua yang mewakili lebih 1,500 syarikat penghantaran barang mempersoalkan masa depan syarikat penghantaran barang dengan pelaksanaan peraturan itu.

Ia terutama berhubung persaing dengan syarikat antarabangsa yang menurutnya tidak diwajibkan memiliki pemegang saham Bumiputera dan Malaysia.

"Kami tidak senang dengan hal ini kerana bagi syarikat asing yang memohon lesen kastam, mereka tidak memerlukan 51 peratus (ekuiti Bumiputera). Mereka bahkan tidak memerlukan penyertaan pihak Malaysia.

"Namun, bagi syarikat Malaysia yang ingin memasuki IILS, mereka perlu menunjukkan bahawa mereka memiliki 51 peratus ekuiti Bumiputera untuk mendapatkan lesen kastam," kata Chua ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, laporan portal The Vibes memetik sumber yang mendakwa pelaksanaan peraturan pegangan bumiputera itu telah ditangguh ke akhir 2022.

"Perkara ini sudah selesai buat masa ini dan Kementerian Kewangan setuju untuk tangguh (tarikh akhir pelaksanaan) sehingga 2022 untuk menilai semula peraturan itu," kata sumber yang tidak dinamakan itu seperti dipetik.

Laporan tambahan oleh Hariz Mohd

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS